PERIKATAN Nasional (PN) Kelantan dijadual mengumumkan senarai penuh 45 calonnya yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 27 Julai ini.
Setiausaha Perhubungan PN Kelantan Wan Roslan Wan Hamat berkata senarai calon untuk PRN Kelantan sudah dimuktamadkan, dengan PAS bertanding di 39 kerusi manakala enam kerusi kepada Bersatu.
Enam calon Bersatu itu akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kok Lanas (Parlimen Ketereh), Gual Ipoh (Parlimen Tanah Merah), Paloh serta Nenggiri (Parlimen Gua Musang) dan Air Lanas (Parlimen Jeli).
Sementara satu lagi DUN belum ditentukan sama ada Kuala Balah atau Bukit Bunga bagi Parlimen Jeli, katanya pada sidang media di Bangunan PAS Kelantan, hari ini.
Wan Roslan, yang juga Setiausaha PAS Kelantan berkata lokasi pengumuman akan ditentukan dalam masa terdekat, dan 50 peratus calon muka baharu yang akan diketengahkan terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan kerjaya.
“Semua calon yang bertanding akan menggunakan logo PAS dengan tema Kelantan Maju Rakyat Sejahtera seperti Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Bagi calon wanita, kita cuba kekalkan seperti jumlah sedia ada atau lebih sedikit,” katanya.
Pada PRU15, PAS mempunyai dua wakil rakyat wanita iaitu ADUN Demit Datuk Mumtaz Md Nawi dan ADUN Tanjong Mas Rohani Ibrahim.
Leave a Reply