Saifuddin Abdullah

PN boleh jadikan Selangor ‘super state’-Saifuddin

SELANGOR akan dibangunkan sepenuhnya jika Perikatan Nasional (PN) memenangi mandat dalam PRN akan datang, kata Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari telah gagal merealisasikan visi ‘super state’.

Menurutnya, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri itu harus menumpukan perhatian kepada membangunkan negeri dan bukannya bermegah-megah dengan kemenangannya ke atas DatuK Seri Azmin Ali, bekas mentornya yang kini seteru politik.

“Visi untuk membina Selangor sebagai ‘super state’ sudah wujud semasa Azmin Ali menjadi Menteri Besar, tetapi Amirudin, penggantinya, gagal merealisasikannya.

“Jadi ini adalah sesuatu yang PN akan lakukan jika kita diberi mandat,” kata Saifuddin dalam Ceramah Perdana Jelajah Selangor Baharu PN malam tadi.

Katanya, Selangor harus dilihat sebagai ‘super state’ dan untuk itu, pengundi harus memilih Menteri Besar yang layak dan bukan orang yang berbangga kerana telah mengalahkan bekas Menteri Besar.

“Itu bukan naratif untuk membina Selangor,” kata Saifuddin yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang.

Pada pilihan raya umum (PRU) November lalu, Aminuddin menewaskan Azmin yang mempertahankan bekas kubu kuatnya di Gombak.

Azmin memegang kerusi itu selama tiga penggal, setelah memenanginya ketika menjadi Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Saifuddin berkata, Selangor tidak seharusnya dibandingkan dengan negeri-negeri Malaysia yang lain kerana ia berpotensi untuk setanding dengan ekonomi hebat di rantau ini.

“Kita sepatutnya membandingkan Selangor dengan Singapura, Taiwan, Hong Kong. Jika tidak, kita tidak melakukan keadilan terhadap apa yang Selangor boleh capai,” tambahnya, lapor FMT.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *