‘Pemilihan Baddrol sebagai calon PN mampu tarik anak muda’

PEMILIHAN pemain bola sepak, Baddrol Bakhtiar sebagai calon yang bakal bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) atas tiket Perikatan Nasional (PN) dianggap membawa kelebihan kepada parti.

Timbalan Ketua Pemuda PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, namun penglibatan Baddrol sebagai calon PN tidak dapat dipastikan.

“Saya tidak tahu mengenai hal berkenaan kerana tidak terlibat dengan jawatankuasa pemilihan calon.

“Kalau betul dia (Baddrol) menjadi calon, ia satu merupakan satu pemilihan yang baik kerana ada pengaruh dan boleh menarik anak muda terutamanya di Kedah,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

Sebelum ini, akhbar melaporkan Baddrol berkemungkinan besar akan diumumkan sebagai calon PRN atas tiket PN di Kedah.

Spekulasi itu hangat diperkatakan apabila Sabah FC mengumumkan Baddrol akan meninggalkan pasukan itu, namun tidak memaklumkan sebab pemain berusia 35 tahun itu meninggalkan kelab.

Pada masa sama, Wan Ahmad Fayhsal berkata, jika perkara itu telah diputuskan oleh pimpinan, ia bukanlah satu tindakan yang merugikan sebaliknya menjadi kelebihan buat PN di Kedah.

Sementara itu, Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari turut memberitahu bahawa beliau belum mendapat informasi berkenaan penglibatan Baddrol sebagai calon PN.

Menurutnya, beliau tidak dapat hadir dalam mesyuarat perbincangan calon baru-baru ini kerana berada di luar negara.

“Saya yakin sesiapa sahaja yang bertanding dengan menggunakan tiket PN akan mendapat kepercayaan pengundi,” ujarnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *