KETUA Penerangan Perikatan Nasional (PN) Kedah, Khairul Anuar Ramli menafikan dakwaan ada menawarkan wang tunai kepada pengundi menjelang pilihan raya negeri (PRN).
Beliau menafikan dakwaan seorang warganet memuatnaik hantaran di Twitter hari ini yang mendakwa ibunya diziarahi sekumpulan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), menyerahkan warga emas itu sampul duit diisi RM50.
Warganet berkenaan juga berkongsi beberapa gambar sampul yang tertera muka Khairul.
Khairul berkata, hantaran Twitter yang sudah dilihat 96,000 kali, sebagai cubaan jahat mahu merosakkan reputasinya sebagai pemimpin PN di Padang Serai.
“Kenapa saya pergi meraih undi sedangkan kempen belum bermula? Lagipun, tak ada pun yang tahu siapa calon parti,” katanya yang juga ketua Bersatu Padang Serai kepada FMT.
Beliau mengakui ada mengunjungi warga emas terlantar, namun perkara itu bukannya luar biasa.
“Menjadi adat membawa hadiah apabila menziarahi orang sakit. Jadi, adakah salah saya menawarkan sejumlah kecil sumbangan untuk kesejahteraan mereka?” katanya.
Khairul berkata, beliau akan mengambil tindakan perundangan kepada pihak yang membuat hasutan dan kenyataan palsu terhadapnya.
“Juga tidak baik bagi pihak yang mempelawa saya hanya untuk memerangkap saya menggunakan ibunya yang sakit,” katanya.
Khairul akan berterusan menyumbang kepada rakyat di Lunas kerana penduduk mengenali dan mengetahui pendiriannya.
Leave a Reply