Kalah di Gombak tak bermakna akan kalah PRN, kata Azmin

MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari diingatkan agar tidak sombong dengan kemenangan yang diperolehinya di Parlimen Gombak pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 yang lalu.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ini kerana kekalahannya di Parlimen itu kepada Amirudin tidak bermakna beliau akan tewas dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

“Saya kalah di Gombak, Amirudin sahabat saya dengan angkuh dan sombong mengatakan beliau telah menghumban saya di Gombak.

“Tak apalah, saya reda dengan kekalahan saya di Gombak. Mudah-mudahan ini peluang kepada saya untuk melakukan muhasabah.

“Tetapi saya nak ingatkan kepada Amirudin, kalah satu pilihan raya tidak bermakna kita akan kalah dalam pilihan raya akan datang,” katanya ketika berucap pada rapat perdana Pidato Kebangkitan Rakyat Gombak di Taman Samudera, malam tadi.

Hadir sama Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; bekas ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Anuar Musa; bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar; Yang Dipertua Pas Gombak, Salehhuddin Nasir dan penyandang Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN), Gombak Setia, Hilman Idham.

Azmin menang di Parlimen Gombak pada PRU ke-14 dengan majoriti 48,721 undi.

Bagaimanapun, Azmin yang keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 2020 tewas di kerusi Gombak tahun lalu kepada anak didiknya, Amirudin.

Sementara itu, Azmin yang juga Ketua Penerangan PN turut mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai berbohong dalam isu kerjasama kerajaan Malaysia dengan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla Inc dan SpaceX, Elon Musk.

Dakwa Azmin, perjanjian dengan Musk itu terlebih dulu dibuat sewaktu dia menjadi Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri di bawah pentadbiran PN sebelum ini.

“Semalam dia umum dia jumpa Elon Musk, minggu depan dia punya cerita macam Elon Musk nak datang (Malaysia) dan belajar dengan dia.

“Tengok-tengok, melalui maya sahaja. Itu pun 25 minit saja dan dalam 25 minit itu terbukti Elon Musk dok main telefon dia, tak peduli pun apa kau (Anwar) cakap.

“Saya ini, yang kononnya saya pengkhianat dan nak humban saya… Anwar Ibrahim, aku dah pergi ke ibu pejabat Elon Musk di Los Angeles, Amerika Syarikat pada tahun lepas.

“Saya dah berunding dengan SpaceX, pengurusan tertinggi di bawah Elon Musk dan kita telah berbincang untuk membawa pelaburan berkualiti ini kepada Malaysia. Aku lebih awal daripada kau,” katanya.

Mengulas lanjut, Azmin berkata, disebabkan itu beliau telah memuat naik semula hantarannya di media sosial berhubung perkara tersebut.

Kata Azmin, ini termasuk pelaburan sebanyak RM25.5 bilion dari Amazon Web Services (AWS) di Malaysia.

“Begitu dengan dengan (pelaburan daripada) AWS yang saya bawa ke negeri Selangor bernilai RM25 bilion.

“Tetapi Perdana Menteri yang ada sekarang sanggup berbohong dalam Parlimen. Dia kata apa…AWS dah telefon saya, dia kata AWS nak melabur di Malaysia ini hanya setelah kerajaan Madani terbentuk.

“Mana Amazon tahu Madani ini binatang apa. Tapi dia berbohong muka dia selamba (tiada perasaan) saja,” katanya.

Dakwa Azmin, beliau juga telah memeterai perjanjian degan AWS sekitar Julai 2022.

“Saya bukan nak berbohong, saya pergi ke AWS pada Mei tahun lepas dan berbincang dengan mereka. Mereka mahu melabur RM25 bilion tetapi ketika itu beliau sedang mencari negara-negara yang bersesuaian termasuk Malaysia.

“Saya terpaksa yakinkan, datanglah ke Malaysia, dasar pelaburan kita mesra perniagaan, kita akan berikan dukungan, insentif, kita nak rakyat Malaysia dapat pekerjaan yang berkemahiran. Akhirnya, dia setuju. Kemudian dia tanya nak pergi Melaka atau Selangor?

“Saya kata kalau boleh datanglah Selangor, walaupun Amirudin menjadi Menteri Besar saya tidak mengambil sikap bermusuh dengan beliau dan saya tetap membawa AWS ke negeri Selangor pada tahun lepas dengan nilai RM25 bilion.

“Maka, AWS bentangkan kepada NCI pada Julai 2022 dan saya menelitinya sebab ia dipengerusikan oleh Miti. Bila kita sudah teliti pelaburan dan jumlah pelaburan kerajaan memberikan insentif kepada AWS. Maka diluluskan pada Julai 2022,” katanya.

Jelas Azmin, ketika itu kerajaan Madani belum wujud lagi dan Anwar belum menjadi Perdana Menteri kesepuluh.

“Apa nak jadi dengan ketua negara hari ini? Boleh bohong, AWS bohong, Elon Musk bohong, SpaceX pun bohong. Cukup-cukuplah,” kata Azmin.

Awal Mac lalu, Anwar dilaporkan berkata, AWS bakal membuka infrastruktur serantau baru di Malaysia dengan pelaburan bernilai RM25.5 bilion sehingga 2037.

Kata Anwar, AWS telah komited kepada pelaburan teknologi antarabangsa terbesarnya setakat ini di Malaysia.

Baru-baru ini, Anwar turut dilaporkan mengadakan pertemuan secara maya dengan jutawan Elon Musk untuk membincangkan pelaburan pembuatan kereta Tesla di negara ini serta perkhidmatan komunikasi satelit SpaceX.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *