Hanya mahkamah boleh putuskan kesalahan 3R, Azalina diberitahu

BEBERAPA peguam menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said supaya bentuk tindakan alternatif diambil terhadap mereka yang dituduh membuat kenyataan menyentuh isu kaum, agama dan raja (3R).

Haniff Khatri Abdulla berkata cadangan itu disifatkan cacat, sambil menambah hanya mahkamah undang-undang yang mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada kesalahan 3R telah dilakukan.

“Pada akhirnya, anda tidak boleh berkompromi (mengenai) keadilan. Ia tidak dilakukan mengikut sesuka hati dan kehendak pegawai penguat kuasa atau kuasa yang ada untuk mengeluarkan denda,” katanya memetik laporan FMT.

Pada forum baru-baru ini, Azalina mencadangkan agar pesalah 3R ditangani di luar sistem mahkamah, seperti denda.

Pengarah Lawyers for Liberty, Zaid Malek berkata, sebarang cadangan sedemikian mesti dinyatakan dengan jelas, dengan perlindungan untuk memastikan ia tidak salah guna bagi tujuan politik atau menyekat wacana awam.

Beliau berkata, cadangan seperti itu tidak boleh dibiarkan samar-samar, kabur atau boleh digunakan sewenang-wenangnya terhadap apa-apa yang dianggap sebagai pelanggaran oleh pihak berkuasa.

“Parameter yang jelas mesti diwujudkan, supaya pihak berkuasa dan orang ramai jelas mengenai perkara yang dilarang,” katanya, lapor FMT.

Pada sidang media baru-baru ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis sedang menyiasat 61 kes berkaitan isu 3R yang berlaku sejak Mac tahun ini.

Senarai ini termasuk aduan membabitkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, yang didakwa menghina Sultan Selangor semasa berucap baru-baru ini.

Beberapa pemimpin politik lain, termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, turut disiasat polis berhubung kenyataan terbaru yang didakwa menyentuh isu 3R.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *