DATUK Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi hari ini menganggap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor tidak lebih daripada ‘pelawak politik’.
Presiden UMNO itu berkata, seorang pelawak mempunyai ramai pengikut bukan kerana aura tetapi kalau pelawak politik yang tidak mempunyai aura dianggap sangat terkenal dan popular maka beliau serahkan kepada kebijaksanaan pengundi di Kedah.
“Yang kita cari ialah kerajaan yang boleh dipercayai, yang berwibawa serta pemimpin yang serius yang menjaga soal-soal kepentingan dan kemakmuran rakyat bukan hanya menjadi pelawak politik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Jentera Pilihan Raya UMNO/BN di Merbok dekat sini hari ini.
Mengulas keyakinan Pengerusi PH Kedah Datuk Seri Mahfuz Omar bahawa PH dan BN mampu menguasai 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada pilihan raya negeri nanti, beliau berkata kedua-dua gabungan perlu bekerja keras bagi merealisasikan perkara itu.
“Yang penting kita bekerja keras dahulu baru kita boleh memberitahu bahawa kita berada di garis paling hadapan untuk memenangi mana-mana pilihan raya DUN di enam negeri terutama di Kedah ini,” katanya.
Beliau juga menegaskan setiap parti politik perlu menggunakan fakta untuk menyatakan sesuatu pandangan ketika berkempen dan bukannya dengan cara yang tidak mempunyai ‘akhlak politik’ walaupun berbeza pendapat.
Beliau berkata perbuatan tersebut hanya akan memberi gambaran yang negatif bukan sahaja kepada pengundi tetapi juga rakyat keseluruhannya lebih-lebih lagi jika membabitkan pemimpin parti berasaskan agama.
Ahmad Zahid berkata antara perkara yang perlu dielak disentuh sepanjang kempen ialah isu 3R (agama, raja dan kaum) bagi menjaga keharmonian serta ketenteraman dalam kalangan masyarakat dan mana-mana pihak yang ingkar, perlu dikenakan tindakan sewajarnya oleh pihak berkuasa.
“Apatah lagi jika menghina… terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya,” katanya Ahmad Zahid.
Beliau berkata memaki hamun, mencaci serta memfitnah kemudian memohon maaf adalah budaya yang tidak boleh diterima dan harus ditolak oleh rakyat keseluruhannya tanpa mengira apa pun agama yang dianuti.
Leave a Reply