MENTERI Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor memohon ampun dan maaf kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung kenyataan beliau yang didakwa memperlekehkan baginda berhubung pemilihan Menteri Besar.
Melalui kenyataan bertajuk ‘Apa gunanya Menangguk di Air Nan Keroh’, Sanusi berkata, beliau mengutuskan warkah kepada Sultan Selangor bagi menjelaskan konteks ucapannya.
Berikut kenyataan penuh beliau:
Apa gunanya Menangguk Di Air Nan Keroh….
Sebaik mengetahui ucapan saya telah dispin (diputar belit untuk menimbulkan kefahaman yang salah) oleh agen-agen Pakatan Harapan /Barisan Nasional (PH/BN), saya telah mengutuskan warkah ke hadapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Sultan Selangor, untuk menjelaskan konteks, maksud sebenar dan medan yang tercangkup daripada ucapan yang telah sengaja diputar belit itu.
Warkah saya itu didahului dengan merafak sembah memohon ampun dan maaf kepada DYMM Tuanku Sultan Selangor seraya berharap tidaklah timbul kemurkaan Baginda Tuanku Sultan bersabit isu-isu yang sengaja dibangkitkan daripada ucapan itu. Selanjutnya saya mendoakan agar Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Permaisuri terus bersemayam di atas singgahsana Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan dalam keadaan sihat, sentosa dan penuh kemuliaan.
Saya dimaklumkan oleh Pegawai Istana Selangor bahawa DYMM Tuanku Sultan Selangor telahpun memberi perkenan untuk menerima dan membaca warkah saya itu pada hari Jumaat 14/7/2023.
(Warkah tersebut tidaklah molek untuk diperturunkan di sini bagi memelihara kemuliaan DYMM Tuanku Sultan dan menjaga adat dan adab berurusan dengan Istana).
Berkaitan itu juga, saya telah memberi keterangan kepada pegawai penyiasat PDRM dari Bukit Aman pada jam 2.00 pagi (14/7/2023) untuk melengkapkan siasatan mereka ke atas laporan-laporan yang telah dibuat oleh AMK PKR dan lain-lain. Demikianlah adanya untuk makluman semua yang berminat dalam isu ini.
Air nan sengaja dikeruhkan moleklah dibiarkan jernih agar terlihat kilas ikannya. Menangguklah di ketika itu.
Leave a Reply