BEBERAPA bekas pegawai tertinggi kerajaan akan mewakili Perikatan Nasional (PN) sebagai calon pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri Ogos depan.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, individu yang diketengahkan itu bukan sahaja pernah memegang jawatan tertinggi di peringkat negeri, malah jabatan Persekutuan.
“Kita akan ketengahkan calon berwibawa, berkemampuan dan berpengalaman antaranya sebagai pegawai tertinggi kerajaan. Jadi tak perlu risau kerana dari segi pengalaman cukup dan boleh menguruskan kerajaan negeri yang ada dalam PRN kali ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam majlis Makan Malam bersama Ahli Parlimen Larut di Dewan Permai Majlis Daerah Selama, Perak malam tadi lapor Sinar Harian.
Tanpa mendedahkan nama-nama calon berkenaan, beliau berkata, pengumuman itu akan dibuat dalam masa terdekat.
Katanya, pemilihan kalangan bekas pegawai kerajaan itu antara strategi PN mendapatkan sokongan dan kepercayaan selain dapat diterima baik rakyat.
“Menang itu sesuatu yang kita fikirkan perlu bukan hanya di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang dipimpin rakan kita daripada PN, tetapi juga di tiga negeri dikuasai Pakatan Harapan (PH). Kita merasakan mampu untuk ambil alih (Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang). Ada strategi-strategi tertentu contohnya menerusi calon yang kita ketengahkan nanti,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Hamzah berkata, satu jawatankuasa masyarakat India telah ditubuhkan dalam PN untuk membantu mengenal pasti masalah komuniti itu yang dihadapi di peringkat akar umbi.
Menurut Ahli Parlimen Larut itu, jawatankuasa baharu tersebut ramai dianggotai bekas pemimpin muda MIC termasuklah P Punithan yang meletak jawatan Ketua Pemuda MIC Selangor, Jun lalu.
“Saya telahpun bertemu dan menggariskan apa yang mereka rasakan perlu untuk kita bawa dalam pilihan raya kali ini. Sudah tentu jawatankuasa ini akan turun ke bawah berjumpa dengan masyarakat India dan maklumkan spesifik memorandum supaya mereka tahu kita tidak meminggirkan mana-mana pihak,” katanya.
Leave a Reply