SEJAUH manakah “pertemuan” antara Elon Musk dan Anwar Ibrahim semalam berjalan lancar?
Perdana menteri membina momentum untuk pertemuan itu beberapa hari sebelum ini, mengatakan jutawan itu meminta untuk mengadakan sesi pertemuan dengannya.
Yang sebenarnya terjadi pertemuan itu hanyalah secara maya dalam bentuk sidang video.
Menurut Pejabat Perdana Menteri, telesidang itu bermula pada 9.30 pagi dan berlangsung selama 25 minit, yang turut dihadiri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Zafrul Tengku Aziz serta Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
Ia diikuti dengan kenyataan tidak lain dan tidak bukan daripada Anwar sendiri, yang menyenaraikan apa yang beliau sampaikan kepada Musk, serta mengucapkan tahniah kepadanya kerana membuka pejabat jualan Tesla di Selangor, lapor MalaysiaNow.
Bagaimanapun, kenyataan Perdana Menteri itu tidak menyebut apa yang Musk katakan semasa telesidang itu.
Tidak sabar untuk mengetahuinya, seorang jurutera perisian tempatan memutuskan untuk menyemak sama ada Musk mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai pertemuan itu di platform media sosial milik jutawan itu, Twitter.
Colin Charles mengecilkan pencariannya antara 9.30 pagi dan 9.55 pagi, ketika pertemuan secara maya dengan kerajaan Malaysia dikatakan sedang berlangsung.
Beliau mendapati beberapa ciapan daripada Musk membalas subjek yang tidak berkaitan, dan menyenaraikan lima daripadanya dengan memberikan “timestamp” atau cap masa setiap satu.
“Elon jelas bosan dengan perbincangan ketika beliau menulis di Twitter, cap masa tidak berbohong,” menurut Colin.
Ciapan Musk termasuk satu baris seperti “You can do that too” (Anda juga boleh lakukannya), “cool” dan satu lagi, “Good summary” (Ringkasan terbaik) sebagai pujian terhadap ulasan yang membandingkan Twitter dan Meta.
Dalam pada itu, hanya tiga minit sebelum pertemuannya dengan Anwar berakhir, Musk menyiarkan emoji wajah tersenyum dengan air mata sebagai reaksi kepada ciapan gembira.
Colin ketika dihubungi oleh MalaysiaNow untuk menghuraikan lebih lanjut, membandingkan tingkah laku Musk semasa pertemuannya dengan Anwar dengan cara dia bertindak balas selepas bertemu Presiden Indonesia Joko Widodo pada Mei tahun lalu.
“Ia adalah satu penghormatan untuk bertemu di Starbase dan membincangkan projek masa depan yang menarik!” tulis Musk dalam kiriman di Twitter selepas bertemu Jokowi di tapak SpaceX miliknya di Texas.
Sebaliknya, Colin berkata sesi Anwar dengan Musk adalah hanya “telesidang selama 25 minit, dan bukan pertemuan secara bersemuka”. Beliau turut mengingatkan Anwar bahawa usaha memikat Musk untuk melabur di Malaysia dimulakan oleh kerajaan terdahulu.
Pada Mei tahun lepas, perdana menteri ketika itu Ismail Sabri Yaakob mengetuai delegasi perdagangan tertinggi ke Washington, di mana beliau menjemput Tesla untuk melabur dan menghasilkan kereta elektriknya di Malaysia.
Semasa lawatan itu, menteri perdagangan antarabangsa dan industri ketika itu Mohamed Azmin Ali turut bertemu dengan wakil daripada syarikat gabungan SpaceX Starlink dan membuat lawatan ke kemudahan SpaceX di Los Angeles.
Leave a Reply