MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari pelik mengapa rakan sejawatnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor meminta ampun kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah walaupun sebelum ini beliau tidak mengaku bersalah dan mendakwa kenyataannya diputar belit.
Bagaimanapun, Berita Harian melaporkan Amiruddin berkata, apa yang berlaku itu sebenarnya boleh menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya lebih berhati-hati ketika berucap di hadapan orang ramai.
“Akhirnya dia minta ampun walaupun tak mengaku bersalah, itu yang pelik. Bila kita tegur, dia kata tak ada (keluarkan kenyataan) dan kemudian minta ampun. Tapi tidak mengapalah, biar polis jalankan siasatan dan kita juga perlu lebih berhati-hati.
“Kerajaan juga ada mengeluarkan peringatan untuk tidak terlalu menunggang isu 3R (agama, bangsa dan institusi diraja) kerana ia akhirnya akan memakan diri sekiranya pandangan yang dikeluarkan itu disalah erti oleh masyarakat.
“Jadi, diharapkan ketika pilihan raya kelak tidak lagi timbul isu seperti ini, marilah kita bincang mengenai fakta, data dan bagaimana untuk bangunkan negara atau negeri pada masa akan datang,” katanya selepas menghadiri Konvensyen Suara Anak Muda #IniMasaKami oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK), di Petaling Jaya hari ini.
Sebelum ini, Muhammad Sanusi menjelaskan sudah mengutus surat kepada Sultan Sharafuddin bagi menjelaskan konteks sebenar ucapannya yang didakwa diputar belit.
Katanya, Pegawai Istana Selangor memaklumkan kepadanya bahawa Sultan Selangor memberi perkenan untuk menerima dan membaca surat itu semalam.
Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat berkata, surat berkenaan didahului dengan merafak sembah memohon ampun kepada Sultan Selangor dan berharap tidak timbul kemurkaan baginda bersabit isu yang didakwa sengaja dibangkitkan daripada ucapan itu.
Muhammad Sanusi bagaimanapun enggan memaparkan surat berkenaan di laman sosial Facebooknya untuk memelihara kemuliaan Sultan Selangor dan adat berurusan dengan istana.
Dalam ucapannya yang tular, pemimpin PAS itu dikatakan menyentuh mengenai perkenan Sultan Selangor, berkaitan pelantikan Menteri Besar Selangor.
Susulan itu, pelbagai pihak membuat laporan polis termasuk yang menyifatkan menghina institusi beraja di Selangor.
Leave a Reply