Sanusi dakwa ucapan diputar belit, cubaan bunuh karakter

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menggunakan politik murahan untuk ‘membunuh’ karakter beliau sebagai pemimpin politik pembangkang.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu mendakwa, ucapan beliau dalam ceramah telah diputar belit pihak tertentu bagi mengheret orang ramai supaya memahami ucapan tersebut secara salah untuk meraih kepentingan politik PH-BN.

Menurutnya, tidak ada walau sepatah pun ucapan berkenaan memberi maksud menghina Sultan Selangor seperti yang didakwa.

“Pemahaman mereka yang salah itu mahu dipaksakan ke atas orang lain semata-mata untuk raih laba politik daripada isu tersebut sambil ‘membunuh’ saya.

“Semua orang melompat masuk dalam satu isu yang mereka reka sendiri daripada plot 3R (agama, kaum, institusi raja),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Setakat Jumaat, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 31 laporan polis di seluruh negara membabitkan kenyataan Muhammad Sanusi yang didakwa menghina Sultan Selangor.

Sehubungan itu, polis telah membuka kertas siasatan terhadap Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu pada Rabu.

Muhammad Sanusi percaya, strategi larangan menggunakan isu 3R ibarat tembok yang sengaja dibina untuk melindungi pemimpin politik lawan secara ‘reverse strategy’, bukan melindungi aspek sebenar 3R.

“Semua usaha kini ditumpukan untuk ‘bunuh’ beberapa pemimpin PN, kerana PH dan BN tidak ada agenda pembangunan sendiri.

“Tidak ada program untuk bangunkan ekonomi, atasi masalah ekonomi, kejatuhan nilai ringgit, kenaikan harga barang, inflasi pula meningkat, gagal menarik pelaburan baharu selain kesan-kesan kegagalan menteri untuk berfungsi,” jelasnya.

Menurutnya, tiada seorang pun kalangan menteri melahirkan produk baharu untuk negara termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkan hanya sibuk berpidato menjatuhkan lawan politik, bukan menumpu kepada pembangunan negara.

“Mungkin PH dan BN telah muflis idea dan keupayaan sebagai kerajaan baharu yang dijaja atas nama perpaduan, sebaliknya semua usaha, masa, rancangan termasuk jentera kerajaan digunakan untuk kepentingan politik,” ujarnya lagi.

Muhammad Sanusi berkata, apa yang dilakukan PH-BN hanya menumpukan kepada usaha untuk menyelamatkan diri.

“Mereka tak ada modal baharu, yang ada senjata ‘membunuh’ lawan saja. Negara sedang kerugian, rakyat dalam kesusahan,” katanya lapor Sinar Harian.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi menempelak Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang didakwa cuba bertindak hebat mahu mengajar beliau membangunkan Kedah.

“Isu pokoknya beliau nak tunjuk hebat, nak sekolahkan saya bagaimana membangunkan Kedah. Amirudin gagal mematahkan hujah saya sebelum ini, bahawa PH mewarisi Selangor yang telah maju sebelum PH ambil alih kerana adanya Kuala Lumpur sebagai pusat pentadbiran, ekonomi dan pembangunan negara dalam negeri itu,” jelasnya.

Menurutnya lagi, Amirudin ibarat mencuci tangan dan kaki setelah mengambil alih pentadbiran Selangor.

“Tak ada nilai tambah dibawa PH selain menyedut nikmat limpahan ekonomi dan pembangunan dari Kuala Lumpur.

“Selangor maju disebabkan dasar ‘The Greater Klang Valley’ dilaksanakan oleh Persekutuan. Sama seperti di Pulau Pinang yang mendapat nikmat daripada ‘The Greater Penang’. Bukan disebabkan PH lebih bijak memerintah berbanding parti lain,” tegasnya.

Sebelum ini, Amirudin menyifatkan Muhammad Sanusi bersikap ‘bermuka-muka’ apabila memperlekeh institusi diraja Selangor dan tindakan itu menggambarkan sikap sebenar pemimpin Pas itu yang kononnya memperjuangkan isu Melayu selain didakwa tidak menghormati institusi raja.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *