Oleh BADLISHAH MAT
KEHIDUPAN ahli keluarga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor tidak pernah didedahkan secara umum sejak beliau mentadbir negeri itu bermula Mei 2020.
Namun disebabkan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), mereka turut menjadi sasaran lawan untuk dijadikan modal politik.
Ini berikutan cerita tentang sebuah rumah besar bertaraf banglo yang dibina di Kampung Batu Lapan, Sik pada mulanya dituduh pihak tertentu kononnya ia milik Muhammad Sanusi, tetapi Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu segera tampil memberi penjelasan.
Kali ini, memahami motif politik yang mungkin menggunakan kediamannya sebagai ‘peluru’ untuk menyerang Muhammad Sanusi, abang beliau, Shabudin, 57, yang juga pemilik banglo tersebut turut tampil menjelaskan keadaan sebenar.
“Sanusi memang ada kaitan dengan saya kerana beliau adik kandung saya, tetapi rumah ini dibina hasil titik peluh saya yang bekerja sebagai penyelam komersial dasar laut selama 27 tahun sejak berhenti daripada perkhidmatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Sudah lama saya pasang impian untuk membina sebuah rumah yang selesa kepada isteri dan enam anak kami. Malah tapak rumah yang berkeluasan 4,000 kaki persegi ini pun tanah pusaka keluarga mentua yang diberikan kepada isteri.
“Rumah kami ini tidak besar manapun, janganlah memfitnahnya, di belakang rumah saya ini ada lagi rumah yang lebih besar dan mahal harganya, kenapa tidak dijadikan isu tetapi saya tahu ini hanya bermotifkan politik.
“Saya juga bukan ahli politik dan tidak ada kena mengena dengan kerjaya politik adik, saya hanya orang biasa, jadi hentikanlah isu yang tidak masuk akal ini kerana sedikit sebanyak ia menjejaskan kehidupan harmoni saya seisi keluarga,” katanya ketika ditemui hari ini.
Shabudin menjelaskan, rumah tersebut juga bukan berharga sehingga RM7.8 juta seperti yang didakwa sebaliknya hanya mencecah sekitar RM1 juta untuk siap sepenuhnya.
“Berita tentang harga rumah sehingga RM7.8 juta itu tak betul, sebut harga pembinaan rumah ini hanya kira-kira RM800,000 sahaja, setelah ditambah perkakasan hanya sekitar RM1 juta. Kalau harganya RM7.8 juta, baik saya jual saja rumah ini, lagi untung,” katanya.
Katanya, rumah hasil simpanan gajinya sebagai penyelam dasar laut di dalam dan luar negara itu dibina sejak Februari tahun lepas dan masih belum diduduki sepenuhnya sehingga sekarang kerana baru siap.
“Gaji yang saya terima bergantung kepada kontrak yang diperolehi, ada yang bagus gajinya dan ada yang kurang bergantung kepada keadaan syarikat yang menawarkan pekerjaan,” katanya.
Shabudin yang berjawatan Diving Superintendent berkata, gaji diterimanya tidak menentu namun kadang-kala boleh mencecah sehingga 1,000 dolar Amerika Syarikat (AS) atau paling kurang 300 dolar, namun dia enggan berkongsi jumlah sebenar gaji diterimanya.
Leave a Reply