Kon Yeow dinamakan semula sebagai Ketua Menteri, jadi ‘poster boy’ PH di Pulau Pinang

DAP menamakan semula Chow Kon Yeow sebagai calon Ketua Menteri bagi penggal kedua sekiranya Pakatan Harapan (PH) berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang pada 12 Ogos ini.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, keputusan itu dibuat secara sebulat suara dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Calon DAP malam tadi.

Ujar beliau, jawatankuasa itu diketuai beliau sendiri selain turut dianggotai Pengerusi DAP, Lim Guan Eng; Timbalan Pengerusi Gobind Singh dan dua Naib Pengerusi iaitu Nga Kor Miing dan M. Kulasegaran.

“Keputusan ini telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beliau telah merestui keputusan tersebut sebagai Pengerusi Pakatan Harapan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Dalam pada itu, Anthony berkata, jawatankuasa tersebut yang merupakan kepimpinan tertinggi DAP juga memutuskan untuk membuat pembaharuan besar (major renewal) dalam barisan Exco Kerajaan Negeri yang mewakili DAP sekiranya diberi mandat semula oleh rakyat Pulau Pinang untuk membentuk kerajaan negeri.

Ujar beliau, proses pembaharuan itu adalah satu keperluan untuk memastikan kesinambungan dan kelangsungan kepimpinan DAP di Pulau Pinang yang lebih muda, dinamik dan berupaya untuk menerajui dan memimpin Pulau Pinang ke arah yang lebih maju dalam semua bidang demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

“Senarai penuh calon yang akan mewakili DAP dalam PRN kali ini akan diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Calon yang seterusnya pada minggu hadapan.

“Semua calon DAP akan diumumkan selewat-lewatnya seminggu sebelum hari penamaan calon,” katanya.

Sebelum ini, wujud desas-desus kononnya Kon Yeow yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Kota akan disingkirkan sebagai Ketua Menteri sekiranya PH berjaya mengekalkan Pulau Pinang pada PRN akan datang.

Ia ekoran laporan sebuah portal berita yang mendakwa terdapat gerakan dari dalam DAP sendiri yang mahu menyingkirkan Kon Yeow dan mengembalikan Guan Eng sebagai Ketua Menteri semula.

Bagaimanapun, laporan portal berita itu kemudiannya ditarik balik susulan kesemua ADUN DAP Pulau Pinang menafikan terlibat dalam sebarang gerakan menyingkirkan Kon Yeow.

Namun isu itu kembali panas selepas sebuah akhbar yang memetik sumber dalaman DAP mendakwa Kon Yeow akan digantikan dengan Anthony sendiri sebagai Ketua Menteri yang akan berpindah bertanding dari Negeri Sembilan ke Pulau Pinang.

Bagaimanapun, kedua-dua pihak turut menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai sesuatu yang mengarut.

Terbaharu, bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan pula mendakwa terdapat usaha menyingkirkan Kon Yeow untuk digantikan dengan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim.

Dakwa Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkenaan, isu itu hangat dimainkan di dalam DAP sekali gus menunjukkan wujud keretakan dalaman dalam parti tersebut di Pulau Pinang.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *