IBU Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu memerlukan bantuan sumber manusia seramai 2,029 bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata permohonan telah dibuat pentadbiran IPK berkenaan bagi memenuhi keperluan anggota seramai 4,468 yang bakal dikerahkan pada sebelum, semasa dan selepas PRN itu nanti.
“Kita (Bukit Aman) akan selaraskan balik, termasuk minta bantuan dari kontinjen-kontinjen lain yang tidak terlibat dengan PRN untuk bantu… (bagaimanapun) kita lihat juga kepada elemen kos dan sebagainya. Mesyuarat akan diadakan untuk bahagikan kekuatan anggota dari Bukit Aman dan IPK lain… memandangkan PRN ini melibatkan enam kontinjen. IPK Terengganu mungkin boleh dapatkan bantuan dari IPK Pahang,” katanya, lapor BERNAMA.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan taklimat berhubung persiapan polis menghadapi PRN Terengganu di IPK Terengganu, hari ini.
Dalam pada itu, Ayob Khan berkata setakat ini, sebanyak 59 titik panas telah dikenal pasti IPK Terengganu sepanjang PRN ini dengan daerah Marang dan Kemaman mencatatkan risiko ketegangan tertinggi.
“Dari mesyuarat tadi, kebanyakan isu yang timbul di kawasan tersebut adalah benda-benda yang pada pandangan kami adalah benda kecil. Saya percaya ia boleh dikurangkan atau dipastikan untuk tidak timbul. Antara isu tersebut adalah seperti merosakkan bendera, atau mengawal sesuatu kawasan bagi menghalang pihak atau parti lain memasang bendera di situ,” katanya.
Katanya, beliau telah mengarahkan Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan untuk memanggil kesemua anggota terlibat dalam kawalan keselamatan sepanjang PRN itu nanti bagi memastikan isu-isu tersebut tidak timbul sama sekali, sekali gus menjamin ketentaraman dan kelancaran proses demokrasi itu.
“Dan Alhamdulillah daripada taklimat tadi, Insya-Allah saya yakin IPK Terengganu telah buat persiapan rapi untuk menghadapi PRN nanti dan dapat beri khidmat agar tiada sebarang insiden berlaku,” katanya.
Selain Terengganu, lima lagi negeri bakal terlibat PRN 12 Ogos ini ialah Kelantan, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan penamaan calon dibuat secara berserentak di enam negeri terlibat iaitu pada 29 Julai, manakala pengundian awal pada 8 Ogos.
Leave a Reply