Zuraida mohon batal perintah bayar RM10 juta kepada PKR

DATUK Zuraida Kamaruddin mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Rayuan bagi membatalkan perintah membayar RM10 juta dikenakan terhadapnya kerana berpaling tadah selepas memenangi kerusi parlimen Ampang buat kali ketiga pada 2018.

Peguam bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, Nizamuddin Abdul Hamid mengesahkan kepada Malaysiakini hari ini bahawa notis rayuan itu difailkan dua hari lalu.

Nizamuddin berkata, rayuan itu adalah terhadap perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Jun yang membenarkan tuntutan RM10 juta daripada PKR.

Hakim Akhtar Tahir turut memerintahkan Zuraida membayar kos RM50,000 kepada PKR, lapor Malaysiakini.

Semasa perbicaraan pada 29 Mac, Setiausaha Agung PKR yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi keterangan, Zuraida memenangi kerusi Ampang kerana bertanding di bawah bendera parti dan bukannya kekuatan dirinya sendiri.

Pada 30 Mac pula, Zuraida memberi keterangan bahawa beliau tidak mengetahui butiran bon RM10 juta itu kerana didakwa dipaksa menandatanganinya sebelum bertanding.

Zuraida bersama 11 ahli Parlimen lain diketuai Datuk Seri Azmin Ali meninggalkan PRK pada Feb 2020 untuk menyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO-BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Kejadian yang digelar sebagai Langkah Sheraton itu membawa kepada kejatuhan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang mendapat mandat untuk menjadi kerajaan melalui pilihan raya negeri (PRU) ke-14.

Pada September tahun yang sama PKR memfailkan tindakan sivil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menuntut RM10 juta ke atas Zuraida kerana meninggalkan parti.

Pada Mei tahun lalu, Zuraida meninggalkan Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Kemudiannya pada Disember tahun lalu juga, beliau dan 10 ahli PBM lain dipecat ekoran krisis dalaman PBM yang berlegar di sekitar isu pelantikan presidennya.

Awal tahun ini, Zuraida dipilih sebagai timbalan Presiden Muafakat Nasional.

Pada PRU ke-15, Zuraida bertanding atas tiket PBM dalam cubaannya mempertahankan kerusi parlimen Ampang.

Bagaimanapun beliau yang pernah menjadi ketua Wanita PKR gagal dan hilang deposit manakala kerusi parlimen Ampang dimenangi calon PH, Rodziah Ismail yang memenanginya dengan majoriti 29,681 undi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *