POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengambil langkah proaktif dengan mengeluarkan 1,082 saman kepada pemilik kenderaan yang menghalang lalu lintas dan laluan pejalan kaki serta meletak kenderaan secara haram.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, saman itu dikeluarkan polis sepanjang Op Hormat Undang-Undang Polis Kuala Lumpur di sekitar Brickfields bermula 3 Julai hingga semalam.
Menurut Mohd. Shuhaily, saman tertinggi yang dikeluarkan adalah halangan lalu lintas iaitu sebanyak 1,061 saman, diikuti larangan letak kenderaan (18) dan tiga kesalahan menghalang laluan OKU.
“Apabila kita (polis) menjalankan operasi dan mengeluarkan saman itu, ia membuka minda masyarakat di Kuala Lumpur bahawa di dalam kesibukan kita mencari nafkah setiap hari ada juga golongan kurang upaya yang turut mencari nafkah.
“Jadi, kita yang sempurna ini haruslah menghormati mereka dan mempunyai sikap bertanggungjawab,” katanya dalam Program Menyantuni OKU Penglihatan di sekitar Brickfields, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Shuhaily bersama beberapa pegawai PDRM turut mengambil kesempatan untuk menguji sendiri laluan pejalan kaki dalam keadaan mata ditutup di sekitar Jalan Thambipillay dekat Brickfields.
Tinjauan itu dilakukan Mohd Shuhaily bersama Pemangku Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji, bersama pegawai kanan lain menggunakan tongkat dan berjalan melalui laluan ‘tactiles’ yang digunakan OKU penglihatan.
“Apa yang saya dapati ketika tinjauan ini, masih ada pihak mementingkan diri sendiri apabila menghalang laluan yang dikhaskan kepada golongan OKU ini secara meletakkan kenderaan di situ.
“Cuba bayangkan apabila motosikal dalam keadaan ekzos yang masih panas, diletakkan di tempat laluan orang buta dan ini akan menyebabkan mereka mengalami kecederaan walaupun kenderaan itu diletakkan untuk seketika, namun ia menyebabkan kesukaran kepada OKU penglihatan.
“Bayangkan, sekiranya keadaan ini dialami ahli keluarga, saudara kita sendiri yang mungkin terdiri dari golongan OKU penglihatan, adakah kita masih sanggup menghalang kemudahan yang disediakan kepada mereka,” katanya, lapor Utusan TV.
Leave a Reply