KETUA Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di Jabatan Perdana Menteri, Mohammad Agus Yusoff menerima reaksi negatif di media sosial selepas memuat naik satu hantaran membandingkan harga barangan dapur yang disifatkan pengguna sebagai ‘tidak logik’ dan ‘tak masuk akal’.
Semalam, Agus berkongsi satu infografik yang menunjukkan perbandingan beberapa item barangan dapur di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH).
Semuanya nampak biasa apabila harga-harga bahan masakan seperti bawang, minyak masak dan ayam dibandingkan dengan kadar harga yang hampir sama dengan harga jualan di pasaran.
Bagaimanapun, ruangan komen dalam Facebook Agus didapati ramai pihak yang mempertikai perbandingan harga cili merah.
Menurut infografik itu, beliau menyatakan harga cili merah di zaman PN dijual pada harga RM50 hingga RM100 sekilo manakala RM12 hingga RM15 di bawah pentadbiran kerajaan campuran.
Rata-rata pengguna Facebook mempersoalkan fakta yang dikemukakan oleh bekas pensyarah itu mengatakan beliau tidak boleh cuba berbohong mengenai harga barangan tersebut memandangkan rakyat kebanyakan membeli barangan dapur hampir setiap hari.
“Prof, jangan letak maklumat taraf profesor kangkung.
“Kami ni rakyat marhean, hari-hari beli barang di pasar. Janganlah nak tunjuk buat kerja tapi nampak b**** sangat,” tulis Ahmad Ismail Man.
“Nampak sangat harga rekaan, bila masa pula cili sampai harga RM50?” soal Mat Jusoh Dollah.
Sementara itu, terdapat juga pengguna Facebook yang turut mengadu harga barangan lain tidak sama dengan harga yang dinyatakan dalam infografik dimuat naik oleh Agus.
Kata mereka, harga ayam di Sabah contohnya sudah mencecah sehingga RM13.90 sekilo berbanding harga RM9 sekilo yang ditunjukkan dalam hantaran Agus itu.
“Kedai mana yang jual ayam harga tu? Saya nak cari,” tulis Amirah Nadzali.
Agus bersara daripada menjadi pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Julai 2022.
Semasa Pilihan Raya ke-15 (PRU15) lalu, Agus dalam nota persaraannya secara terbuka menyatakan sokongan kepada Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.
Selain itu, Agus juga mempertahankan penglibatannya dengan kumpulan profesor Melayu yang secara terbuka menyokong Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri melalui dokumen ‘Deklarasi Profesor Melayu G70’ ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 sedang berlangsung.
Sehingga kini, hantaran Agus itu terus dibanjiri oleh komen pengguna media sosial dan mendapat ratusan perkongsian.
Dalam hantaran tersebut, Agus berusaha untuk melawan naratif dengan mempersoalkan kembali dakwaan mengenai kos sara hidup menjadi tinggi di bawah kerajaan campuran.
Katanya, naratif tersebut dibawa oleh pihak PN sebagai satu strategi untuk menakut-nakutkan rakyat.
“Selain tunggang agama dan bangsa, guna pula isu kenaikan harga barang dan harga keperluan harian rakyat.
“Beras, gula, telur dikatakan naik. Ini harga kawalan mana boleh naik begitu? Ada aktanya yang mengawal.
“Realitinya, lihat carta yang saya sertakan. Lihat juga maklumat dan data dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN),” katanya dalam hantaran itu.
Bagaimanapun, cubaan Agus dilihat lemah apabila komen-komen terus mempersoalkan ‘data sahih’ tersebut.
Seorang pengguna Facebook, Iqbal Idham memberikan komen mengatakan soal kos sara hidup tidak melibatkan dakyah politik parti sebaliknya pengalaman yang dilalui oleh rakyat saban hari.
“Mereka melaluinya. Berpadalah bila mengurus persepsi, khuatir kita tak sedar sedang memperkecil apa yang dilalui rakyat,” ujarnya, lapor MalaysiaNow.
Leave a Reply