ADIK V. Ganabatirau mungkin dicalonkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning, kerusi yang pernah disandang Ganabatirau selama satu penggal, menurut seorang pemimpin DAP Selangor.
Ganabatirau dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning pada pilihan raya negeri (PRU) 2018, sebelum menjadi Ahli Parlimen Klang pada PRU15 November 2022.
Pemimpin DAP negeri itu yang enggan dinamakan berkata, Papparaidu yang merupakan adik Ganabatirau, melakukan kerja asas melalui libat urus dengan akar umbi.
Papparaidu, yang juga ahli Majlis Bandaraya Shah Alam terbabit dalam kerja kemasyarakatan dan pengagihan bantuan, khasnya membantu mangsa banjir.
Sumber parti itu berkata, beberapa persatuan penduduk turut menghantar surat kepada DAP untuk menyokong Papparaidu sebagai calon.
Papparaidu ketika dihubungi FMT tidak menekankan prospek pencalonannya.
Katanya, beliau pernah dengar mengenainya, ‘tetapi biarlah parti buat keputusan akhir’.
Beliau berkata, isu mendesak dihadapi penduduk Kota Kemuning ialah kesesakan lalu lintas, yang dijangkakan lebih teruk selepas perbandaran Rimbayu siap.
“Kita perlu kaji pembinaan jambatan di atas bulatan mengurangkan kesesakan lalu lintas,” kata Papparaidu yang juga pengerusi perhubungan Parlimen Kota Raja.
Pengundi di Selangor dan lima negeri lain akan memilih ADUN baharu pada 12 Ogos ini.
Leave a Reply