BEKAS Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menegaskan beliau sama sekali tidak gentar dengan saman yang dikemukakan veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang berhubung dakwaan yang mengaitkannya dengan tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.
Malah bekas pemimpin tertinggi UMNO yang kini bersama Pas itu juga akan mengambil tindakan saman terhadap Lim kerana tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.
“Hari ini saya dapat surat saman daripada Lim Kit Siang, saya sampai di Jempol, orang rumah telefon beritahu Lim Kit Siang saman kerana ucapan saya di Bachok.
“Saya kata tak ada masalah, saya dah lama sebenarnya tunggu Lim Kit Siang saman supaya bertemu buku dengan ruas. Dia jangan fikir dia boleh buli Annuar Musa.
“Saya berpegang kepada apa yang saya kata. Dia saman saya, lusa saya akan arahkan pula peguam saman dia,” katanya.
Terdahulu Malaysiakini melaporkan pasukan peguam Lim telah menyampaikan surat tuntutan (LOD) kepada Annuar berhubung dakwaan yang dikaitkan dengan rusuhan kaum yang membawa maut pada 13 Mei 1969.
Annuar pada malam Rabu lalu, Bachok, Kelantan, mendakwa DAP mempunyai ‘kepentingan’ dalam rusuhan itu dan menuduh Lim mengapi-apikan isu bumiputera dan bukan bumiputera di Kota Kinabalu ketika pembunuhan berlaku di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Dalam membuat dakwaan itu, Annuar memetik buku yang menurutnya memuatkan ucapan Lim. Bagaimanapun, Lim berkata buku itu tidak wujud.
Sebaliknya, menurut pemimpin DAP itu, ia haya adalah khayalan Annuar sedangkan hakikatnya dia langsung tidak berada di Kuala Lumpur pada 11, 12, dan 13 Mei 1969, kerana pada pagi 13 Mei, dia telah ke Kota Kinabalu untuk membantu calon Bebas dalam hari mengundi di Sabah dan Sarawak yang dijadualkan kemudian.
Sementara itu, Annuar mendakwa Lim juga cuba mencemarkan kewibawaannya sebagai orang politik melalui tulisan di Facebook dan beliau akan mengarahkan peguam untuk membawa perkara tersebut ke mahkamah.
“Sebab dalam Facebook dia kata Annuar Musa sejak masuk Pas, perkara pertama dilakukan adalah tiru Haji Hadi (Presiden Pas) kerana membuat tuduhan-tuduhan liar dan tidak berasas.
“Itu juga cuba mencemarkan kewibawaan saya sebagai orang politik, maka saya akan mendakwa Lim Kit Siang kerana membuat tuduhan terhadap saya. Saya harap dia mempertahankan diri.
“Yang dia dakwa saya tak ada masalah, malam ini pun saya boleh ulas sekali lagi. Supaya peguamnya boleh ambil ucapan di Bachok, ambil lagi ucapan di Jempol, gabung kedua-dua bawa ke mahkamah,” katanya.
Tambah bekas menteri UMNO itu sebagai orang perjuangan mereka tidak mudah boleh diugut atau diapa-apakan selagi berkata benar.
“Saya menentang (Datuk Seri Dr.) Zahid Hamidi (Presiden UMNO) kerana berpegang pada kebenaran, saya tolak DAP kerana saya pegang pada kebenaran. Saya bukan bercakap di belakang, tiap-tiap malam saya berpidato secara terbuka, nak saman silakan, tiada masalah,” tegasnya.
Leave a Reply