WANITA warga China dikenali sebagai Wang Xu yang dikaitkan dengan kekecohan di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) minggu lalu dilaporkan masih belum pulang ke negara asal.
Sumber berkata, berdasarkan rekod keluar dan masuk Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mendapati wanita itu masih berada dalam negara ini.
Jelasnya, rekod menunjukkan tarikh masuk adalah pada 29 Jun lalu dan pas masuk akan tamat pada 28 Julai ini.
“Berdasarkan rekod memang didapati individu terbabit masih belum keluar dari negara ini.
“Untuk pengetahuan, mana-mana individu bukan warganegara boleh keluar melalui mana-mana pintu sempadan di negara ini, namun sistem akan menunjukkan pintu individu terbabit keluar,” katanya, memetik laporan Harian Metro.
Menurutnya, memandangkan notis penolakan masuk untuk individu terbabit sudah dibatalkan dan individu berkenaan dibenarkan ke negara ini.
“Buat masa ini memang tidak ada rekod keluar, kecuali individu terbabit menggunakan laluan tikus,” katanya.
Pada 5 Julai lalu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memaklumkan wanita berkenaan sudah pulang ke negaranya.
Azam memaklumkan, keterangan daripada wanita terbabit sudah diambil pihaknya dan tidak boleh melarang mereka untuk balik ke negara asal.
Sebelum ini, tular dalam media sosial mengenai kekecohan di KLIA membabitkan seorang menteri yang didakwa menceroboh masuk ke balai ketibaan lapangan terbang itu bagi melepaskan seorang pelawat China yang ditahan JIM.
Susulan itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing mengakui dirinya adalah menteri yang dikaitkan dengan kejadian tersebut dan mendakwa kehadirannya bagi membongkar kewujudan budaya rasuah dilakukan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa kronik di pintu masuk negara.
Leave a Reply