BEKAS Pengerusi Bernama, Datuk Ras Adiba Radzi sedikit terperanjat apabila ‘bisikannya’ kepada anak Timbalan Perdana Menteri didedahkan kepada orang ramai.
Ras Adiba mengakui benar beliau ada berbisik kepada Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid tetapi lebih bersifat daripada seorang berpangkat kakak dengan seorang adik.
“Berbisik itu memang benar, sebagai seorang yang berpangkat kakak dengan seorang adik.
“Saya berbicara (dengan Nurulhidayah) mengenai tugasan saya yang sudah pun berakhir di Bernama dan sebagai ahli Dewan Negara.
“Saya beritahu kepada beliau, sekiranya ada peluang tolonglah bisikkan dan beritahu (kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid) yang saya ingin terus bertugas dan bekerja untuk komuniti serta memperkasakan komuniti saya… tidak lebih daripada itu,” katanya memetik laporan Malaysiakini.
Semalam Warta Rakyat melaporkan Ras Adiba – yang mula dikenali sebagai penyampai berita TV3, menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menerima watikah keahliannya daripada presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Susulan itu Nurulhidayah memberitahu, keputusan Ras Adiba itu tidak ada kaitan dengan berakhirnya kontrak beliau sebagai senator dan Pengerusi Bernama baru-baru ini.
“Saya agak terkejut kerana menerima berita penghijrahan sahabat yang saya anggap kakak bersama parti Bersatu.
“Saya berharap keputusan Kak Deeb (Ras Adiba) ini tidak ada kena mengena dengan isu beliau tidak disambung term senator di Dewan Negara dan jawatan sebagai Pengerusi Bernama,” katanya.
Nurulhidayah turut menjelaskan beliau ada menyampaikan hasrat Ras Adiba kepada Ahmad Zahid namun bapanya tidak dapat membuat penentuan bagi keputusan besar tersebut.
Mengulas lanjut, Ras Adiba berkata, di sebalik pendedahan Nurulhidayah itu beliau tetap berterima kasih kerana dengan tindakan tersebut ada faedah yang diperolehi juga.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada beliau (Nurulhidayah) kerana memberikan sekali lagi saya ruang di media sosialnya kerana dengan itu lagi ramai orang tahu akan pembabitan saya dengan Bersatu,” katanya.
Pada masa sama, Ras Adiba menjelaskan beliau merupakan individu dalam kategori orang kurang upaya (OKU) namun perlu bekerja sama seperti orang lain untuk meneruskan kehidupan.
Katanya, apa yang dibisikkan kepada Nurulhidayah sepatutnya tidak menjadi isu dan menganggap ia adalah salah satu usaha yang dibuatnya.
“Saya tidak minta apa-apa, cuma untuk terus diberikan peluang untuk bertugas atas pengalaman dan kesungguhan saya.
“Itu tidak salah pada saya. Sebagai seorang manusia dan umat Islam, kita seharusnya berusaha.
“Saya tidak kecewa tidak disambung di bawah pucuk pimpinan sekarang, kerana rezeki saya adalah daripada Allah, bukan manusia,” jelasnya lagi.
Mengulas mengenai penyertaannya sebagai ahli Bersatu, Ras Adiba berkata, langkah itu adalah adalah untuk menyokong aspirasi parti berkenaan dan untuk kesejahteraan rakyat.
“Fokus saya selain OKU juga adalah warga emas dan keseluruhan mereka yang berada di negeri Sembilan terutamanya di kampung saya di Sri Menanti.
“Terima kasih kepada Datuk Nurul yang begitu baik hati baik budi kerana menjelaskan bisikan saya.
“Selalunya kita berbisik itu sebagai rahsia dan saya mendoakan agar ayahnya sihat sejahtera daripada pembedahan yang dilakukan tidak lama sebelum ini,” katanya.
Leave a Reply