Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SEORANG pemilik bengkel lori maut, manakala pekerjanya cedera selepas premis itu di Taman Mutiara Rini, Iskandar Puteri terbakar pada malam tadi.
Panggilan kecemasan berhubung kebakaran tersebut diterima pihak bomba pada pukul 11.36 malam.
Susulan itu seramai 24 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Larkin dan BBP Pekan Nanas bergegas ke lokasi kejadian.
Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Faiz Suleiman berkata, setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian mendapati kebakaran melibatkan sebuah bengkel jenis kekal.
“Semasa kejadian, telah berlaku letupan dan kesan letupan tersebut telah mengakibatkan kerosakan pada cermin tingkap rumah yang berada pada jarak lebih kurang 30 meter dari bengkel tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dan operasi ditamatkan pada pukul 11.39 malam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin mengesahkan kejadian dan mangsa berusia 41 tahun itu meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Pekerja lelaki berusia 27 tahun cedera di bahagian kaki dan kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru,” katanya.
Leave a Reply