Hapus hutang peneroka: Pengumuman Anwar melucukan, kata Ahli Parlimen Kuala Krau

Oleh KAMAL ASHAARI

‘LEMBU punya susu, sapi dapat nama’ adalah peribahasa yang tepat untuk menggambarkan pengumuman PMX dalam himpunan peneroka Felda baru-baru ini.

Pengumuman berkenaan penghapusan hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion adalah suatu yang lucu bilamana tindakan penghapusan hutang Felda ini sudah lama dihapuskan oleh kerajaan PN.

Pengesahan penghapusan hutang dinyatakan dalam satu soalan yang dikemukakan saya dalam semasa persidangan Dewan Rakyat pada 23 Februari lalu. Saya meminta Perdana Menteri menyatakan pendirian kerajaan untuk meneruskan lagi usaha kerajaan sebelum ini dalam menghapuskan hutang Felda.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said dengan jelas menyatakan bahawa pentadbiran kerajaan terdahulu pada Julai 2021 telah meluluskan penghapusan hutang peneroka Felda keseluruhanya bernilai RM8 bilion.

Namun begitu, katanya kerajaan kini tidak dapat meneruskan pelaksanaan penghapusan hutang peneroka Felda secara berterusan kerana penghapusan hutang pada tahun 2021 telah memberi impak yang besar terhadap aliran tunai Felda.

Oleh yang demikian, kutipan balik baki hutang ataupun pinjaman yang telah dikeluarkan sehingga kini perlu terus dilakukan sebagai sumber pendapatan Felda untuk kelangsungan organisasi dan kebajikan warga peneroka Felda. Hal itu disebabkan kutipan hutang peneroka Felda merupakan salah satu sumber pendapatan Felda yang penting bersamaan dengan 10.8 peratus jumlah pendapatan jangkaan bagi tahun 2023.

Malahan kenyataan media oleh Pengerusi Felda sebelum ini, Tan Sri Idris Jusoh pada 24 Februari lalu, membenarkan bahawa kerajaan PN telah menyelesaikan hutang peneroka pada 2021.

Maka saya tertanya-tanya sampai bila PMX mahu bercakap berbelit-belit dalam semua isu.  Nampaknya PMX sangat terdesak untuk mendapatkan sokongan anak muda dan juga peneroka Felda tertumanya generasi kedua dan ketiga setelah golongan ini tidak menyokong PH. Jika dahulu Felda menjadi deposit tetap buat BN UMNO, namun sekarang hampir 90 peratus tidak lagi berpihak kepada parti kerajaan perpaduan.

Sebagai PMX jika pun mahu ambil hati peneroka dan mahu menjadi hero, saya nasihatkan beliau menunjukkan kesungguhan untuk menangani masalah yang membelenggu peneroka. Tidak keterlaluan umtuk saya cadangkan kepada PMX untuk berfikir mencari penyelesaian kepada baki hutang peneroka, meneruskan kerja baik kerajaan PN yang melupuskan hutang peneroka sebelum ini. 

Selain itu selesaikan segera masalah rumah generasi kedua yang masih menghantui di sesetengah Felda.

Nasihat saya, akui dan teruskan kerja baik kerajaan PN sebelum ini. Tumpulah kepada kerja-kerja sebagai PMX dan juga Menteri Kewangan tanpa perlu cuba menjadi hero dalam setiap perkara.

*Penulis adalah Ahli Parlimen Kuala Krau. Tulisan dipetik daripada harakahdaily.net.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *