AHLI Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin hari ini menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pemilikan kediaman peribadinya di Kajang, Selangor.
Badrul yang lebih dikenali sebagai Chegubard mendakwa, rumah di Sungai Long yang didiami Anwar adalah milik tauke Cina yang penuh misteri.
Chegubard berkongsi dokumen yang didakwa ditandatangani oleh setiausaha sulit kepada Anwar yang mengesahkan banglo itu dimiliki oleh individu yang dikatakan ahli perniagaan.
Dalam sidang media yang diadakan selepas membuat laporan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya, Badrul turut membangkitkan isu Anwar menggunakan beberapa kereta mewah yang didakwa bukan milik Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.
“Ini termasuk kereta Jaguar yang didakwa dimiliki oleh Yayasan Aman Berhad, yang Anwar adalah pengasas dan penasihatnya, dan sebuah BMW yang didakwa dimiliki oleh ahli perniagaan lain dari Selangor.
“Sudah menjadi kebiasaan bagi Anwar untuk bergerak dengan kereta mewah, walaupun sebelum menjadi perdana menteri.
“Bagaimanapun, tiada rekod mana-mana kereta dalam senarai asetnya yang diisytiharkan,” katanya memetik laporan Malaysiakini.
Katanya, Anwar sepatutnya berhenti bercakap mengenai ketelusan jika pada masa sama menggunakan premis dan kereta yang bukan miliknya.
“Jadi persoalannya, jangan sembang soal ketelusanlah Anwar. Kau duduk pun rumah tauke Cina yang penuh misteri,” dakwa Badrul.
Selain itu, Pengerusi Muafakat Nasional (MN) Negeri Sembilan itu juga mempertikaikan sebidang tanah di Port Dickson, yang dibeli Anwar pada harga RM1 juta tahun lepas.
Malaysiakini telah menghubungi Pejabat Perdana Menteri untuk mendapatkan ulasan.
Leave a Reply