Dua pencari kepah lemas dihanyut arus deras

DUA pencari kepah lemas selepas dihanyutkan arus deras di pantai Esplanade Kampung Buntal, Kuching tengah malam tadi.

Mayat Mohamad Amin Umar, 39, ditemui pada 3.30 pagi tadi, manakala mangsa kedua, Awang Khairul Aziq Awang Chula, 25, ditemui pada 3.42 pagi.

Penolong pengarah operasi bomba Sarawak, Henderi Ardimansyah berkata, tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya dibantu dua pegawai bomba bantuan Swart serta tiga pasukan bomba sukarela Kampung Buntal diarah ke lokasi selepas panggilan diterima pada 12.47 tengah malam.

“Setibanya di lokasi kejadian, maklumat diterima terdapat tiga lelaki mencari kepah di pantai berkenaan, dengan dua daripadanya hilang dihanyutkan arus deras, manakala seorang lagi berjaya menyelamatkan diri.

“Operasi pencarian yang turut disertai penduduk kampung dilancarkan dalam radius 100m di sekitar lokasi terakhir kedua-dua mangsa dilihat,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata, mangsa pertama ditemui terdampar di pantai oleh penduduk kampung kira-kira 400m dari lokasi dia hilang, manakala mangsa kedua ditemui anggota penyelamat terdampar di pantai tidak jauh dari lokasi mayat pertama.

Katanya, mayat dua mangsa itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *