Beg milik mangsa tragedi kepala dijumpai

SEBUAH beg dipercayai milik Karim Abdullah, 39, yang merupakan salah seorang mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih di sini ditemukan semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, barangan tersebut dijumpai di beting pasir sejauh dua kilometer dari lokasi kejadian kira-kira jam 12 tengah hari.

“Semasa mengetuai operasi mencari mangsa yang masih hilang, seorang Pegawai Kanan Bomba, Mohd Zailani Abdullah telah menemui satu beg sandang jenama Gregory.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat satu beg duit berwarna hitam yang mengandungi pelbagai dokumen peribadi barangan berharga milik mangsa. Antara barangan yang ditemui adalah wang berjumlah RM1,279 selain kad pengenalan, kad perkahwinan, jam tangan dan telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan, lapor Sinar Harian.

Hanyan menambah, barangan yang ditemui itu akan diserahkan kepada waris mangsa.

Pada 1 Julai lepas, sembilan sekeluarga dari Felda Lepar Hilir, Pahang dan bakal menantu keluarga tersebut dari Batu Pahat, Johor dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan kepala air.

Setakat ini, sembilan jasad mangsa tragedi itu telah ditemukan sejak enam hari operasi pencarian dijalankan bermula 2 Julai lalu.

Jasad Allahyarham Karim Abdullah, 39, dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta empat anak mereka iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, Putri Nurerina Natasya,10, Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4, ditemukan pada Ahad dan Isnin manakala Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, dan adik tirinya, Putri Alleya Maisarah, 16, ditemukan pada Selasa.

Pada Khamis lalu, mayat kesembilan mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih di sini disahkan sebagai Muhammad Fikri Saliman, 24.

Dengan penemuan mayat kesembilan itu menjadikan mangsa terakhir yang masih hilang ialah Putri Nur Fatin Karim, 14.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *