6 anggota polis ditahan di pusat hiburan, 1 positif dadah

ENAM anggota polis yang sedang berhibur di sebuah pusat hiburan di Setiawan, Perak, ditahan dalam serbuan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, pukul 11.30 Sabtu lalu.

Menerusi serbuan tersebut, pihak polis turut menemui sepeket serbuk putih disyaki dadah jenis ketamin.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, operasi dijalankan bersama Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) bagi mengesan pelanggaran dan salah laku yang dilakukan warga Polis Diraja Malaysia.

“Siasatan lanjut akan dijalankan JIPS Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, siasatan dari sudut tatatertib sedang dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata, terdapat situasi yang membenarkan anggota berada dalam premis berkenaan berdasarkan arahan dalaman.

Katanya, siasatan akan dibuat apabila ada anggota terbabit dikesan positif dadah dan minum minuman keras.

Sementara itu, sumber berkata, kesemua enam anggota terbabit bertugas di salah sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Perak.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati salah seorang anggota beragama Islam dikesan positif minum minuman keras, manakala seorang lagi anggota positif dadah jenis ganja.

“Seorang wanita warga Indonesia turut ditahan bersama enam anggota dalam bilik karaoke di pusat hiburan berkenaan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *