SEORANG maut manakala sembilan lagi cedera selepas 10 motosikal berlanggar sesama sendiri di KM26.9 Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) arah Seremban di Nilai malam tadi.
Seorang penunggang motosikal berusia 19 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.
Ketua Polis Nilai, Superintendan Abdul Malek Hasim berkata, dalam kejadian 11.30 malam itu semua penunggang terbabit bergerak dari Nilai ke Seremban.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, salah sebuah motosikal dipercayai gagal dikawal sebelum terbabas dan berlanggar sesama sendiri.
“Seorang penunggang berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala lima penunggang parah dan empat penunggang lain cedera ringan,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata, mangsa cedera yang berusia 18 hingga 20 tahun dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Video kemalangan itu tular di laman sosial memaparkan beberapa mangsa cedera terbaring di jalan raya.
Leave a Reply