Warga Felda hairan, persoal kenyataan Anwar hapus hutang RM8.3 bilion di media sosial

WARGA peneroka Felda memenuhi ruangan komen pada siaran langsung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengunjungi sebuah universiti awam dengan mempertikai kenyataan beliau mengenai pelupusan hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion.

Mereka mempersoalkan kenyataan Anwar yang juga Menteri Kewangan bahawa hutang tersebut baru sahaja dilupuskan oleh pentadbirannya bulan lalu sekali gus menepis tuduhan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwanya berbohong dalam hal itu.

Mereka menegaskan sejumlah hutang tersebut sudah pun dilangsaikan oleh Muhyiddin ketika menjadi Perdana Menteri ke-8 sejak tahun 2021 lalu.

“Kami anak-anak Felda dah selesai terima penghapusan hutang semasa ‘abah’ jadi PM,” kata pengguna TikTok, Fayyad Ammsyar merujuk gelaran yang popular digunakan kepada Muhyiddin.

Ketika melawat Universiti Utara Malaysia (UUM) pada Sabtu, Anwar memberitahu beliau baru sahaja selesai menandatangani pelupusan hutang tersebut pada akhir Jun.

“Kamu kata selesai tahun 2021, selesai di mana?” katanya, lapor MalaysiaNow.

Bagaimanapun, pendirian Anwar diselar oleh warga peneroka Felda di ruangan komen.

“Akhir Jun? Cukup setahun sudah kami anak peneroka habis hutang.

“Mana datang baru langsai tu? Dah genap setahun,” tulis pengguna TikTok Ummi Nurul.

Terdapat juga pengguna maya yang mempersoalkan, perjanjian atau dokumen mana satu yang ditandatangani oleh Anwar di pejabatnya?

“Dia buka Felda baru ke?” soal Wawa Zali_20.

Malah, ada juga pengguna yang mengingatkan penonton dalam siaran langsung tersebut supaya tidak memberi kepercayaan sepenuhnya kata-kata Anwar.

“Anwar ni, dia diam pun aku tak percaya, apatah lagi dia duk (tengah) bercakap,” tulis AbeManja.

Sebelum ini, Muhyiddin dalam satu kenyataan memaklumkan pelupusan hutang peneroka Felda sudah dilaksanakan di bawah pentadbirannya sekali gus menegaskan Anwar sebagai ‘berbohong besar’ mengenai isu pelupusan hutang tersebut.

Bekas Perdana Menteri itu turut menegaskan pelupusan itu disahkan sendiri oleh menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam jawapan Parlimen pada 23 Februari lalu.

Dalam pada itu,di Facebook pula, ramai pengguna yang menyifatkan kenyataan Anwar sebagai mencuba untuk memberikan kredit kepada dirinya sendiri sedangkan pelupusan hutang itu adalah usaha daripada pemimpin kerajaan terdahulu.

Malah, beberapa komen yang ditinggalkan menggelarnya sebagai ‘Bapa Peng’claim’ Negara’ kerana teguh dengan pendirian bahawa beliaulah yang menghapuskan sejumlah hutang tersebut.

“Anwar ini, #doneclaim kerja orang lain sahaja,” tulis AreWie Ma’dee.

“Nak ‘claim’ dan nak kredit sahaja kerjanya,” kata Anas Mohd.

Tidak kurang juga, segelintir pengguna yang mempersendakan kenyataan Anwar mengatakan beliau mungkin menandatangani dokumen berbeza dan bukannya dokumen berkaitan dengan hutang-hutang peneroka.

“Dokumen nak tukar pengerusi Felda kot?” tulis Ayob Abu Bakar.

“Saya bersangka baik, mungkin PM ada Felda baru yang ingin dibuka agaknya,” komen Azman Ahmad pula.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *