Rosol Wahid sah tidak bertanding PRN

TIMBALAN Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Rosol Wahid mengesahkan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu itu, berkata keputusan untuk tidak bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah bagi memberi peluang kepada calon muka baharu.

“Apa yang boleh saya katakan, saya tidak akan bertanding untuk kerusi DUN pada PRN nanti bagi memberi peluang kepada calon muka baharu.

“Saya tidak nafikan, ada permintaan daripada Bersatu, termasuk Pas meminta saya bertanding pada PRN ini untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Hulu Terengganu.

“Namun, saya membuat keputusan untuk memberi tumpuan sepenuhnya sebagai Ahli Parlimen, sekali gus membuka peluang kepada orang muda atau yang berwibawa bertanding,” katanya yang ditemui hari ini, lapor Berita Harian.

Ditanya mengenai calon dan agihan kerusi Bersatu di Terengganu, Rosol berkata, keputusan muktamad akan diumumkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam masa terdekat.

Katanya, setakat ini tiga nama setiap DUN yang dikemukakan Bersatu kepada pucuk pimpinan ada di antaranya pernah menjadi calon pada pilihan raya umum sebelum ini.

“Jika melihat kepada situasi semasa pembahagian kerusi, Bersatu setakat ini ditawarkan lima (kerusi) dan kita tidak tahu jika ada berlaku pertambahan.

“Bagaimanapun, sama ada kerusi bertambah atau tidak kita akur dan apa yang pasti akan bekerja keras memastikan semua calon yang bertanding akan menggunakan lambang Pas pada PRN di negeri ini,” katanya.

Difahamkan, setakat ini Bersatu ditawarkan lima kerusi yang disandang Barisan Nasional (BN) iaitu DUN Kijal, Langkap, Kuala Besut, Permaisuri dan Telemong.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *