Muhyiddin anggap PRN akan jadi referendum rakyat untuk kerajaan

TAN Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini sebagai referendum atau pungutan rasmi suara rakyat sama ada mahu melihat kerajaan Putrajaya kekal atau sebaliknya.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, setelah lebih tujuh bulan memerintah, rakyat boleh melihat dan menilai apa yang kerajaan campuran PH-BN lakukan untuk rakyat selain berpolitik tanpa mengira tempat dan masa.

‘’Kerajaan PH-BN juga sanggup berbohong kepada rakyat dengan memberi gambaran yang cantik-cantik sahaja, sedangkan realiti di bawah tidak sedemikian. Kos sara hidup terus meningkat dan mencengkam hidup rakyat, ekonomi merudum, ringgit menjunam ke paras membimbangkan tetapi kerajaan dilihat tidak berbuat apa-apa,’’ katanya dalam kenyataan dalam Facebook beliau, hari ini.

Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, secara jujur beliau tidak menyangka setelah lebih tujuh bulan memerintah, masalah kerajaan campuran PH-BN ini begitu besar daripada yang dijangka.

‘’Justeru saya menyeru seluruh rakyat agar dapat keluar mengundi dan menjadikan PRN ini sebagai satu pungutan suara rasmi rakyat menolak sebuah kerajaan ‘cakap tak serupa bikin’ yang banyak menyusahkan hidup rakyat,’’ katanya.

Sambil menjelaskan, beliau melancarkan jentera Pilihan Raya PN Negeri Sembilan malam tadi, Presiden Bersatu berkata, pilihan raya ini bukan sekadar untuk memilih seorang wakil rakyat tetapi lebih daripada itu memilih sebuah kerajaan negeri yang bertanggungjawab, amanah, tidak rasuah, mendukung perlembagaan, adil dan saksama dalam sentiasa berusaha memajukan ekonomi negeri.

Beliau berkata,  walaupun PN berada dalam serba kekurangan, jangan sesekali mudah putus asa, terus berusaha perhebatkan jentera pilihan raya, insya-Allah kemenangan akan menjadi milik kita.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *