EKORAN penerimaan langkah kerajaan campuran mengekalkan sistem kuota yang diumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, MCA mengucapkan tahniah kepada DAP tetapi perlu menarik semua tuntutan mereka selama ini.
Naib Presiden MCA, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker menyifatkan langkah DAP untuk menerima sistem kuota Bumiputera walaupun sebelum ini paling lantang menentangnya adalah satu sesuatu perubahan sikap yang harus dipuji kerana mereka sudah bertaubat.
“Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada DAP yang di pengerusikan oleh Lim Guan Eng kerana sudah boleh menerima kuota Bumiputra.
“Ini adalah jauh berbeza dengan DAP semasa ayahnya Lim Kit Siang,” katanya dalam satu kenyataan dalam akaun Facebook.
Lian Ker bagaimanapun berkata, pendirian DAP untuk menerima sistem kuota Bumiputera adalah tidak selari dengan ketetapan yang dibuat mereka dalam Deklarasi Setapak sebelum ini.
“DAP telah dalam Deklarasi Setapak dan Dasar Budaya Demokrasi mereka menyatakan secara nyata dan tersirat untuk menghapuskan amalan budaya kuota (that DAP firmly opposes the division of citizens into ‘bumiputera’ and ‘non-bumiputera’ in terms of cultural and educational policies) apabila mereka berkuasa nanti.
“Malahan dalam ‘Dasar Budaya Demokratik’ mereka, DAP telah secara specifik meminta bahasa English dikembalikan sebagai bahasa rasmi dan bahasa Cina dan Tamil diberi kedudukan rasmi dan dibenarkan untuk digunakan dipersidangan Dewan Undangan Negeri dan Parlimen.
“Dalam kandungan yang sama DAP menekankan agar kemasukan universiti harus berdasarkan meritokrasi dan bukannya ‘ethnicity’,” ujarnya.
Malah, Lian Ker mengungkit kecaman DAP terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) semasa dipimpin Datuk Seri Najib Razak memperkenalkan kemasukan universiti tempatan berdasarkan sistem merit.
“Pada 23hb Julai 2013, apabila kerajaan di bawah Najib Razak memperkenalkan kemasukan universiti tempatan berdasarkan sistem merit, Lim Kit Siang terus mengecam dasar ini yang dikatakan telah menurunkan jumlah kemasukan pelajar Cina jatuh kepada 19% daripada 30% pada tahun sebelumnya,” katanya, lapor Agenda Daily.
Namun, Lian Ker menggesa supaya DAP bertaubat secara ikhlas dan menarik balik semua tuntutan mereka selama ini bagi menunjukkan mereka sudah insaf.
“Saya ingin merakamkan syabas kepada DAP yang telah menerima sistem quota yang telah dibantah dan dimaktubkan dalam ‘organ serta instrument’ parti DAP selama-lama ini.
“Dalam pada itu, saya ingin menyarankan agar DAP atau Pengerusinya Lim Guan Eng menunjukkan keikhlasan bertaubat ini dengan menarik balik tuntutan mereka selama ini dan memadamkan tuntutan mereka sepenuhnya untuk menunjukkan mereka sudahpun sedar bahawa tindakan mereka selama ini adalah salah.
“Mesej yang jelas perlu disampaikan pada penyokong DAP bahawa setelah bersama Kerajaan Perpaduan, mereka sudah sedar dan bertaubat,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, Anwar baru-baru ini mengumumkan pendirian untuk mengekalkan sistem kuota Bumiputera dalam kemasukan ke pusat pengajian tinggi dan DAP menerima keputusan tersebut.
“DAP kenalah dengan jelas dan ikhlas menyatakan mereka bersetuju dengan kuota bumiputera dan ‘bumiputera Kekal’ sebagai mesej yang jelas kepada penyokong mereka supaya penentangan dasar ini tidak berterusan dan mengancam ketenteram,” kata Lian Ker lagi.
Leave a Reply