Jika Pas mahu buat zalim, sudah lama berlaku di Kelantan, kata Idris

NAIB Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, sekiranya Pas mahu membuat zalim kepada orang bukan Islam, perkara itu sudah lama dilakukan di Kelantan.

Katanya, meskipun hanya 10 peratus penduduk bukan Islam yang tinggal di negeri itu, namun mereka hidup dalam keadaan aman dan baik.

“Kalau kami nak buat zalim kepada orang bukan Islam, dulu 33 tahun Kelantan diperintah oleh Pas, setitik darah seorang Cina pun kami tak bunuh, seorang India pun kami tak tikam dan seorang Siam pun kami tak sembelih.

“Boleh pergi melawat sana (Kelantan), ada tiga berhala. Bukan setakat berdiri, tidur pun ada. Tapi tiba-tiba kamu reka cerita dan kalau kami nak buat zalim pun, lebih baik kami buat kaum minoriti di Kelantan, bukan di Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan di Seremban malam tadi, lapor Sinar Harian.

Media Sinar semalam melaporkan Lim Guan Eng disiasat berhubung kenyataan yang didakwa menyentuh sensitiviti perkauman dalam sebuah program di Pulau Pinang pada Jumaat lalu.

Timbalan Pengarah (Forensik dan Perancangan Strategik) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk G. Suresh Kumar berkata, pihaknya sebelum ini telah menerima beberapa laporan berhubung kenyataan yang dikeluarkan Pengerusi DAP itu.

Terdahulu, sebuah portal berita tempatan yang memetik laporan akhbar bahasa Mandarin melaporkan Guan Eng memberi amaran kepada pengundi Pulau Pinang untuk menyekat ‘gelombang hijau’ daripada bertapak di negeri itu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *