TAN Sri Muhyiddin Yassin membuat semakan dengan bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Idris Jusoh bagi mendapatkan pengesahan berhubung isu penghapusan hutang peneroka dibangkitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kononnya tidak diselesaikan.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu sudah menghubungi Idris yang ditamatkan khidmatnya sebagai Pengerusi FELDA oleh kerajaan campuran atas arahan Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk mendapatkan pengesahan pelaksanaan penghapusan hutang yang dibuat sebelum ini.
“Saya semak dengan Tan Sri Idris Jusoh, Pengerusi FELDA yang sudah baharu ini dia berhentikan oleh Anwar.
“Dia ada teks dengan saya dia kata betul, RM8.3 bilion yang Tan Sri umum dulu sudah pun dilaksanakan oleh FELDA… Dah masuk dalam penyata bulanan potongan,” katanya semasa berucap semasa Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri Sembilan malam tadi.
Bagaimanapun, Muhyiddin berkata Perdana Menteri (PMX) itu tidak faham dengan isu yang dibangkitkannya berhubung isu penghapusan hutang peneroka tersebut.
“Tapi Anwar Ibrahim tak faham, saya hairan muka dia macam cerdik.
“Kalau cakap ni macam ni berapi-api kat sini, saya kalau pidato dah tentu saya kalah. Tapi cakap dia kata apa? Dia kata Muhyiddin cakap saja,” ujarnya lagi.
Jelasnya lagi, langkah penghapusan hutang peneroka tersebut diambil selepas menerima pandangan daripada Pasukan Khas Menangani Isu FELDA yang dipengerusikan Tan Sri Abdul Wahid Omar sebelum ini.
Terdahulu, Anwar mendakwa pemansuhan 80 peratus hutang peneroka FELDA yang dibuat kerajaan terdahulu tidak disertai sebarang kelulusan.
Anwar berkata, kerajaan PN hanya membuat pengumuman pelupusan hutang berjumlah RM8.3 bilion tersebut.
Bagaimanapun, pada 23 Februari 2023, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan tidak dapat meneruskan pelaksanaan penghapusan hutang peneroka FELDA berjumlah RM8 bilion, yang diperkenalkan ketika pentadbiran kerajaan PN pada 2021.
Susulan itu, Idris juga telah membuat kenyataan pada 24 Februari 2023 bahawa pelupusan hutang peneroka FELDA berjumlah RM8.3 billion telah selesai dilaksanakan pada tahun 2021.
Leave a Reply