‘Datang pun tak tapi cakap macam-macam’, pegawai MB ajak pengkritik datang ke Kelantan

PERSEPSI buruk terhadap Kelantan ditiup oleh seteru Pas memburukkan lagi prasangka rakyat yang tidak pernah rasai kehidupan di negeri itu.

Pegawai khas kepada Menteri Besar Kelantan, Lau Chin Chua berkata, masyarakat bukan Islam di Kelantan tiada masalah dengan dasar kerajaan negeri walaupun setelah lebih 33 tahun ditadbir Pas.

“Yang banyak bercakap kata ‘itu tak betul’, ‘ini tak betul’ mereka yang tak duduk di negeri ditadbir Pas. Datang pun tidak tapi cakap macam-macam.

“Orang politik tak sehaluan dengan kita menakutkan orang bukan Islam dengan Pas sebab nak menang pilihan raya,” katanya memetik laporan FMT.

Lau berkata, masyarakat bukan Islam bebas mengamalkan kepercayaan mereka dan membina rumah ibadat.

“Rumah ibadat terutama kuil-kuil Buddha yang didirikan di atas tanah kerajaan sekarang sudah diwarta menjadi tempat amalan agama. Satu-satu kawasan itu bukan kecil – ada 10 ekar, lebih 10 ekar. Tak payah bayar cukai pun,” katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri memberi layanan baik kepada masyarakat bukan Islam, “tak ada seorang pun bukan Islam dinafi hak, diusir dan sebagainya.”

Lau menggesa mana-mana pihak yang meragui dasar pentadbiran Pas di Kelantan untuk datang sendiri ke negeri itu.

Sebelum ini, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mengakui dasar Pas di negeri ditadbirnya membimbangkan orang bukan Islam, yang diburukkan lagi dengan persepsi dicipta lawan menjelang pilihan raya negeri (PRN).

Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong berkata, perkara itu sedikit-sebanyak menyukarkannya meraih sokongan pengundi segmen berkenaan, terutama di Pulau Pinang.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *