TINDAKAN sesetengah pihak membocorkan ‘draf penghakiman’ dilihat sebagai cubaan jahat untuk menjatuhkan Badan Kehakiman bagi mengganggu operasi kehakiman dan pentadbiran keadilan.
Ini kerana sejak kebelakangan ini kata Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Badan Kehakiman menjadi sasaran anggota masyarakat tertentu dalam mengejar objektif jahat mereka.
Katanya, antara contoh cubaan jahat yang dilakukan adalah membocorkan ‘draf penghakiman’ dalam dua kes berprofil tinggi yang dibicarakan di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi
“Selain penghakiman mereka yang menjadi wacana awam, kehidupan peribadi hakim juga tidak tidak terlepas daripada penelitian,” katanya dalam ucapan pembukaan pada Persidangan Antarabangsa Undang-undang Malaysia (MLC) di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur hari ini.
Tengku Maimun berkata, bagaimanapun pihaknya lebih mengutamakan kritikan yang bermaklumat berbanding kritikan yang tidak berasas.
“Harapan kami terhadap orang awam adalah supaya memanfaatkan kuasa teknologi untuk membiasakan diri dengan keputusan penghakiman kami.
“Sesuatu penghakiman atau keputusan mesti difahami bukan sahaja untuk apa yang akan diputuskan tetapi juga alasan yang menyokongnya…Mungkin Majlis Peguam perlu melihat kepada meningkatkan kefahaman dan kemahiran awam berhubung penghakiman mahkamah,” katanya.
Selain itu, Tengku Maimun berkata, pihaknya berdepan beberapa cabaran dalam mentransformasikan perbicaraan mahkamah dari fizikal kepada virtual.
“Antara perkara yang menjadi kebimbangan utama adalah keselamatan siber, di mana data undang-undang yang sensitif, membabitkan keterangan peribadi hingga butiran kes perlu dilindungi,” katanya, lapor Berita Harian.
Leave a Reply