Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, setelah hampir lapan bulan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan, rakyat sudah putus harapan melihat kegagalan demi kegagalan kerajaan campuran itu.
Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, rakyat pelbagai peringkat berhadapan dengan kesempitan dan kesusahan dalam menjalani kehidupan seharian kerana ekonomi negara seperti tidak ada hala tuju.
“Kos sara hidup terus meningkat, harga barang keperluan harian tidak turun-turun malah terus naik, banyak dasar yang dilaksanakan tidak konsisten dan kerap kali ‘flip-flop’ sehingga pelabur menjadi keliru dan hilang keyakinan,” katanya.
Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata demikian menerusi entri terbaharu dalam Facebook miliknya hari ini.
Beliau berkata, ketika ini sambutan terhadap PN boleh dilihat semakin meningkat selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Antara buktinya kata Muhyiddin, apabila ramai yang hadir dalam ceramah dan kempen PN menjelang pilihan raya negeri (PRN) yang bakal berlangsung pada 12 Ogos nanti.
Jelasnya, ini termasuk Program Jelajah Mega PNBEST Peringkat Negeri Terengganu di Dataran Jambatan Angkat di Kuala Terengganu malam tadi.
“Alhamdulillah malam tadi saya bersama-sama kepimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) dan rakyat negeri Terengganu hadir pada Ceramah Perdana Jelajah Mega PN Best dan pelancaran Himpunan Teguh Pertahan 100K.
“Saya terharu melihat lautan manusia membanjiri Dataran Jambatan Angkat yang menjadi ikon pelancongan terbaharu negeri Terengganu.
“Ini belum lagi dicampur dengan tontonan secara langsung orang ramai menerusi pelbagai platform media sosial yang saya pasti begitu besar jumlahnya,” ujar Ahli Parlimen Pagoh itu.
Katanya, sambutan seperti itu sungguh luar biasa yang membuktikan PN sudah bersedia memasuki PRN.
Beliau yakin gelombang kebangkitan rakyat yang berlaku ketika PRU15 akan berterusan dan berulang pada PRN di enam negeri terbabit.
“Peningkatan sokongan dari sehari ke sehari ini sekali gus menafikan dakwaan pemimpin PH-BN bahawa sokongan rakyat kepada PN semakin tepu.
“Pada saya kenyataan sedemikian lahir daripada ketakutan melihat gelombang sokongan rakyat terutama dalam kalangan orang muda kepada PN semakin kuat.
“Saya percaya ada pihak yang tidak boleh tidur malam melihat kepada perkembangan ini yang jelas menunjukkan rakyat tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan dalam mentadbir negara,” katanya.
Beliau menyeru seluruh rakyat Terengganu dan semua negeri terlibat menggunakan PRN tersebut untuk memberi mesej yang jelas kepada kerajaan PH-BN adalah sebuah kerajaan yang gagal.
“Saya dengan rendah diri menyeru agar kita semua dapat terus bekerja kuat memperhebatkan jentera di kawasan masing-masing sepanjang tempoh berkempen ini.
“Jika kita terus beristiqamah, bersungguh-sungguh mendekati dan menyantuni rakyat dan bertawakal, kemenangan akan menjadi milik kita semua, insya-Allah,” ujarnya.
Pada PRU15, PN mendapat sokongan 80 peratus rakyat beragama Islam dan momentum itu sentiasa meningkat dari semasa ke semasa termasuk di Kelantan dan Terengganu.
PRU15 tahun lalu menyaksikan PN berjaya membolot 74 kerusi, Pakatan Harapan (PH) (82 kerusi) manakala BN mendapat 30 kerusi.
Leave a Reply