PERIKATAN Nasional (PN) dilihat mempunyai keyakinan tersendiri pada pilihan raya di enam negeri kali ini, kata Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Malah Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu beranggapan kepimpinan kerajaan Pusat akan ‘terganggu’ sekiranya mereka berjaya menawan sebahagian besar negeri.
Katanya, pilihan raya negeri (PRN) yang bakal berlangsung pada 12 Ogos nanti merupakan penentu sama ada kerajaan Pusat yang memerintah ketika ini berjaya mengekalkan tampuk pemerintahan atau sebaliknya.
“Sekiranya keputusan yang akan dicatat pada hari akhir mengundi itu.. insya-Allah enam negeri yang kita tandingi ini kalau tak semua pun lima buah negeri kita menang dengan cemerlang, saya kira ia akan menggegarkan kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ia menjadi petanda di peringkat awal (bahawa) kerajaan yang ada di peringkat Putrajaya tidak mungkin boleh bertahan lama (mungkin) kerajaan itu akan jadi kerajaan yang gagal dalam tempoh yang tak begitu lama.
“Ia akan tumbang dan tak akan dapat bertahan lagi,” katanya ketika berucap sempena Program Jelajah Mega PNBEST Peringkat Negeri Terengganu di dataran jambatan angkat di Kuala Terengganu malam tadi.
Menurut Muhyiddin, keyakinan itu berdasarkan gelombang sokongan luar biasa ditunjukkan rakyat terhadap parti itu sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sehingga kini.
Katanya, pada PRU lalu PN mendapat sokongan 80 peratus rakyat beragama Islam dan momentum itu sentiasa meningkat dari semasa ke semasa termasuk di Kelantan dan Terengganu, lapor Sinar Harian.
PRU15 pada November tahun lalu menyaksikan PN berjaya membolot 74 kerusi, Pakatan Harapan (PH) (82 kerusi) manakala BN mendapat 30 kerusi.
Lain-lain kerusi dimenangi gabungan Parti Sarawak (GPS) (22 kerusi), Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (6 kerusi), Parti Warisan Sabah (Warisan) (3) dan calon Bebas 2 kerusi.
Leave a Reply