Pemuda PN kerah jentera buat laporan ke atas Guan Eng

SEMUA jentera Pemuda Perikatan Nasional (PN)
diarahkan untuk membuat laporan polis terhadap Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang didakwa pernah menuduh gabungan itu akan merobohkan tokong sekiranya mentadbir Pulau Pinang.

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihaknya telah dimaklumkan berkenaan perkara itu dan menyifatkannya sebagai biadab dan untuk usaha menakutkan pengundi Cina dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

“Kenyataan ini adalah kemuncak kepada provokasi kaum yang bakal memusnahkan kedamaian dan perpaduan rakyat hanya semata-mata takut melihat penolakan rakyat kepada kerajaan perpaduan yang penuh penipuan, manipulasi dan kegagalan yang berturut-turut selama tujuh bulan pemerintahan yang gagal ini.

“Laporan polis akan dilakukan di seluruh negara bagi menyatakan bantahan terhadap sikap perkauman pemimpin DAP ini. Pengarahan ini untuk seluruh jentera Pemuda PN di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Semalam, Lim menafikan beliau pernah membuat dakwaan itu dan sebaliknya berkata ucapannya dalam bahasa Mandarin telah diputar belit seolah-olah ada pihak ingin merobohkan tokong Buddha atau tokong Cina.

“Ini tidak benar. Saya amat kesal ada pihak yang tidak bertanggungjawab telah sengaja memutarbelitkan ucapan saya dan menggambarkan seolah-olah membakar sentimen perkauman agama dan kaum,” kata Lim dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, ucapan itu dibuat merujuk kepada kes sebuah kuil Hindu berusia lebih 70 tahun di Kedah yang dirobohkan pada Julai 2020.

Sementara itu Ahmad Fadhli berkata, PN mengecam keras kenyataan itu dan menyifatkan ia sebagai satu pembohongan besar untuk menutup kegagalan kerajaan mentadbir negara.

“Hipokrit! Itu sahaja perkataan yang layak untuk diletakkan kepada para pemimpin kerajaan perpaduan apabila kononnya lantang mengecam isu 3R (royalty, religion, race) termasuk satu lagi ‘r’ iaitu region, tetapi apabila kenyataan berkaitan 4R ini dilaung oleh para pemimpin PH (Pakatan Harapan), mereka sendu seribu bahasa.

“Para menteri yang sebelum ini sibuk memberi amaran akan bertindak jika isu ini dibangkitkan, sekarang apa tindakan,” soalnya, lapor Malaysiakini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *