Mangsa dakwa dirogol tolak penilaian lanjut, kata pengarah kesihatan

MANGSA yang didakwa dirogol namun tidak diberi bantuan segera di hospital awam di Sarawak menolak penilaian lanjut, menurut Jabatan Kesihatan Negeri.

Ini susulan dakwaan pengguna Twitter @serensespagetthi, seorang mangsa rogol tidak dibenarkan masuk ke pusat khidmat krisis sehenti (OSCC) sebuah hospital awam dan diberitahu untuk membuat laporan polis terlebih dahulu.

Selepas bertengkar dengan kakitangan hospital dan akhirnya dapat memasukkan mangsa ke OSCC, beliau mendakwa wanita itu tidak diperiksa, sebaliknya hanya diberi ubat perancang kecemasan dan antibiotik untuk penyakit kelamin yang mungkin terjangkit

Menurut The Borneo Post, Pengarah Kesihatan Sarawak, Dr. Ooi Choo Huck, mengesahkan kejadian itu berlaku di sebuah hospital awam di Sarawak sekitar 10.30 malam Rabu lalu.

Bagaimanapun, Ooi berkata, kakitangan hospital memberikan mangsa perhatian dan rawatan sewajarnya di jabatan kecemasan, dan dia diperiksa secara menyeluruh.

“Wanita itu mula-mula disaring oleh kakitangan kesihatan yang bertugas dan diminta membuat laporan polis di pondok polis bersebelahan Jabatan Kecemasan. Bagaimanapun, selepas berbincang dengan doktor kecemasan yang bertugas, dia dihantar ke OSCC,” katanya.

Selepas diperiksa pegawai perubatan, beliau berkata, prosedur bagi kes sebegini dijelaskan kepada mangsa, termasuk kepentingan membuat laporan polis dan memberikan kebenaran bertulis untuk penilaian lanjut.

Ooi mendakwa, mangsa bagaimanapun enggan membuat laporan atau memberikan kebenaran untuk sebarang penilaian lanjut dijalankan ke atasnya, walaupun selepas dinasihati pegawai perubatan.

“Oleh sebab tiada kebenaran bertulis daripada pesakit terbabit, pemeriksaan lanjut tidak dapat dijalankan. Dia dinasihatkan agar kembali ke hospital untuk pemeriksaan jika berubah fikiran dalam tempoh 72 jam.”


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *