Oleh BADLISHAH MAT
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan Malaysia akan terlepas peluang memiliki pusat kargo terbesar di Asia Pasifik sekiranya pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) tidak direalisasikan.
Muhammad Sanusi berkata, ini kerana pembangunan pusat penyedia perkhidmatan Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik pulih (MRO) yang hampir sama kini dirancang untuk diwujudkan di Kuala Namu Sumatera, Indonesia.
“Jika kita tidak merebut peluang ini dalam kalangan pemain industri kargo antarabangsa, jika ia tidak berlaku di Malaysia pada tahun-tahun ke depan ini, (maka) ia sedang bergerak ke Sumatera.
“Opsyen yang hampir sama dengan Kedah adalah Kuala Namu di Sumatera, kalau tak direbut (untuk) dibawa ke Kedah saya yakin satu pusat kargo terbesar di rantau Asia Pasifik akan berada di Indonesia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) Negeri Kedah di Kedah Royal Club di Alor Setar, hari ini.
Program tersebut turut dihadiri Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Muhammad Sanusi sebelum itu mengambil kesempatan menjelaskan sekali lagi tentang kepentingan pembinaan KXP kepada penduduk Kedah khususnya.
“Kerajaan negeri turut berharap agar pembangunan Kedah Aerotropolis diberi perhatian secara keseluruhannya termasuk cadangan pembangunan KXP yang merupakan komponen utama bagi pembangunan tersebut.
“KXP adalah dirancang sepenuhnya untuk dibangunkan sebagai sebuah lapangan terbang kargo dan bukan lapangan terbang berasaskan penumpang. Saya sudah jelaskan perkara ini kira-kira 100 kali dah,” katanya.
Kata beliau, tanggapan bahawa KXP akan menjadi saingan kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) juga adalah tidak berasas kerana kewujudan KXP bukan sahaja tidak akan menjadi saingan malah menjadi pelengkap kepada fasiliti di negeri jiran itu.
“Pembangunan KXP amat signifikan lagi diperlukan dalam konteks pembangunan ekonomi negara kita khususnya di Wilayah Utara. Rakan-rakan pelabur antarabangsa yang menyatakan komitmen untuk terlibat aktif di KXP menaruh keyakinan yang tinggi bahawa KXP berpotensi untuk menjadi ‘economic game changer’ pada masa hadapan,” katanya.
Justeru, Muhammad Sanusi tetap berharap kerajaan negeri diberi peluang untuk menjelaskan secara terperinci kepentingan projek itu kepada rakyat dan negara secara langsung di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri.
Leave a Reply