Khairy ingatkan Guan Eng, patung Buddha terbesar ada di Kelantan

BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengingatkan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng fakta kewujudan patung Buddha duduk terbesar di Asia Tenggara terletak di Kelantan.

Menurutnya, patung Buddha berbaring kedua terbesar di Asia juga berada di Kelantan bukan negeri lain.

“Hanya nak ingatkan Guan Eng kononnya ‘gelombang hijau’ akan merobohkan kuil di Pulau Pinang. Ini adalah patung Buddha duduk terbesar di Asia Tenggara. Teka di mana? Tumpat, Kelantan.

“Hok ni reclining Buddha paling besar di Malaysia dan nombor dua di Asia Tenggara. Mana? Tumpat, Kelantan. Nak royak gapo lagi pasal ‘green wave‘ ni?” soalnya dalam Insta Story, semalam.

Bekas menteri kesihatan itu turut berkongsi gambar kedua-dua patung tersebut dalam media sosialnya selepas Guan Eng dilaporkan memberi amaran rumah ibadat akan dirobohkan jika ‘gelombang hijau’ menawan Pulau Pinang.

“Saya tidak mahu mempercayai berita ini pada mulanya. Tetapi saya semak dan ia adalah tepat. Ini menimbulkan ketakutan kaum dan hasutan.

“Anda fikir orang Melayu akan mengundi menentang anda kerana kami semua adalah sebahagian daripada ‘gelombang hijau’ Taliban? Periksa kepala dan hati anda.

“Pasti Pas ada menyatakan beberapa perkara yang melampau. Tetapi kenyataan ini keterlaluan dan boleh menghancurkan jalinan bangsa kita,” katanya lagi, lapor Agenda Daily.

Beberapa laporan polis dibuat terhadap Guan Eng susulan kenyataannya yang mendakwa ‘gelombang hijau’ bakal musnahkan tokong Buddha dan menafikan hak agama di Pulau Pinang.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *