Keputusan MUDA bertanding solo dalam PRN muktamad, kata Amira

KEPUTUSAN Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) untuk bertanding secara solo dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri kali ini adalah muktamad dan untuk mempertahankan prinsip parti tersebut.

Timbalan Presiden MUDA, Amira Aisya Abdul Aziz berkata, parti tersebut ada menerima undangan daripada parti lain untuk bekerjasama dalam PRN namun mereka tidak akan menggadaikan prinsip untuk bekerjasama.

“Sangat jelas keputusan untuk bertanding secara sendiri kali ini bukan semata-mata kerana kita tiada tawaran (daripada Pakatan Harapan).

“Sudah tentu ia (tawaran) salah satu pertimbangan tapi pada masa sama, dari sudut pendirian dan juga dasar, kita sudah ada banyak perbezaan dengan PH dan Barisan Nasional (BN).

“Jadi mungkin untuk PRN kali ini, keputusan bertanding sendiri adalah keputusan yang sudah dimuktamadkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas aktiviti jualan meraih dana PRN Muda di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, MUDA berharap keputusan itu dapat menghantar isyarat jelas, terutama kepada PH dan BN, yang mereka perlu menunaikan janji yang telah dibuat ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15, lapor Malaysiakini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *