Tiada elemen rasuah dalam kes kekecohan di KLIA 

TIADA elemen rasuah ditemui dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung insiden membabitkan seorang menteri di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 29 Jun lalu.

 Sumber berkata, siasatan awal mendapati tiada sebarang pembayaran wang dibuat terhadap mana-mana individu selepas mereka tidak dibenarkan oleh imigresen memasuki negara ini.

Sumber itu memberitahu, kekecohan berpunca daripada kekeliruan dan salah faham membabitkan dua pelancong dengan “orang tengah” atau “ejen” yang dihubungi sebaik mereka dikenakan tindakan Notis Penolakan Masuk (NTL) memasuki Malaysia.

Mereka yang terkandas dihubungi ejen menggunakan WeChat bagi membantu menyelesaikan masalah dihadapi.

“Semakan di WeChat ada menyatakan amaun mengenai pembelian tiket pulang ke negara asal dan bayaran dikenakan oleh ejen.

“Disebabkan masalah komunikasi antara kedua-dua pihak ini (dua wanita China dan ejen) telah menimbulkan salah faham konon berlaku rasuah di KLIA, bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan berhubung perkara ini,” kata sumber itu, lapor Utusan Malaysia.

Minggu lalu sebuah portal berita melaporkan kekecohan di KLIA melibatkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing, didakwa cuba “menyelamatkan” seorang wanita warga China yang dinafikan kemasukannya ke negara ini sejurus tiba.

Kejadian itu turut tular di media sosial apabila Tiong didakwa masuk ke ruang balai ketibaan tanpa memohon pas keselamatan.

Tiong kemudian mendakwa wujud budaya rasuah membabitkan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa “kronik” di pintu masuk negara.

Katanya, wanita itu memaklumkan ada pegawai bertanya “bila wang mahu dibayar” merujuk kepada sogokan.

Tiong yang juga Ahli Parlimen Bintulu turut mendakwa ada pegawai meminta sekurang-kurangnya RM3,000 untuk dikeluarkan daripada tahanan, RM3,000 lagi jika ingin masuk semula, selain RM12,000 bagi kos memproses visa.

Pada 5 Julai lalu, SPRM mengesahkan mengambil keterangan 14 individu berhubung dakwaan terdapat elemen rasuah dalam kalangan pegawai dan anggota imigresen di pintu masuk negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata individu diambil keterangan termasuk seorang menteri, lapan kakitangan imigresen serta wanita warga China bersama rakannya.

Azam turut memaklumkan wanita China dikaitkan dalam kekecohan itu bersama seorang rakannya sudah pulang ke negara asal pada 5 Julai.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *