DAP akan mempertahankan kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan, kata Setiausaha Agung parti Anthony Loke.
Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata secara umumnya jumlah kerusi DUN yang akan ditandingi DAP tidak berubah.
“Jumlah kerusi (DAP bertanding) memang tidak berubah (besar), kita hanya bertanding di kerusi yang kita telah menang. DAP akan bertanding di semua kerusi penyandang dalam PRN nanti. Mengenai jumlah kerusi keseluruhannya, saya belum kira lagi, tetapi di Pulau Pinang ada 19 kerusi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Lesen Memandu di bawah program MyLesen B2 di Pusat Latihan Memandu Balik Pulau hari ini, lapor Bernama.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), DAP menang 48 kerusi DUN dengan 19 kerusi di Pulau Pinang, Selangor (16), Kedah (2) dan Negeri Sembilan (11).
Sementara itu, Loke berkata ketika ini DAP Pusat masih belum menerima senarai calon daripada pimpinan negeri.
Katanya, kesemua isu berkaitan PRN seperti nama calon dan juga soal agihan kerusi akan diumumkan sebelum hari penamaan calon iaitu 29 Julai.
”Soal calon akan diumumkan kelak, senarai calon belum ada dan kami belum terima (nama calon) dari peringkat negeri lagi, mungkin mereka akan serahkan dalam masa terdekat atau sebelum penamaan calon,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Rabu, telah menetapkan PRN di Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu dijalankan serentak pada 12 Ogos manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal 8 Ogos.
Leave a Reply