PRN : Calon Pas tetap kena bai’ah tetapi bukan sumpah taklik cerai – Hashim

PAS akan meneruskan amalan bai’ah dalam kalangan calon parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan , tetapi kali ini mungkin tidak serumit seperti sumpah taklik cerai talak tiga yang pernah berlaku di Kelantan sebelum ini.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata bai’ah wajib bagi setiap calon Pas sebelum bertanding namun kemungkinan kepimpinan akan mengubah dan menambah kandungan tertentu.

“Jika dilihat situasi semasa juga sudah agak berbeza berbanding dulu yang mana ahli sangat setia dan walak kepada parti. Pada satu situasi, semasa di Kelantan dulu (Pilihan Raya Umum pada 2004) kita hanya ada kelebihan satu kerusi yang memerlukan bai’ah seperti sumpah taklik cerai talak tiga itu, namun situasi sekarang sudah berbeza,” katanya lapor Berita Harian.

Katanya, berkemungkinan bai’ah bagi calon Pas pada PRN kali ini adalah selaras di setiap negeri.

Menjadi amalan bagi setiap calon Pas yang dipilih bertanding akan berbai’ah yang mana sekiranya calon meninggalkan atau lompat ke parti lain dengan keredaan sendiri selepas menang atau dilantik senator maka dia akan dilaknat oleh Allah, rasul serta orang beriman serta segala perbelanjaan menggunakan wang elaun dewan adalah haram.

Selain itu, calon juga bersumpah meletak jawatan apabila keluar atau dipecat oleh parti.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pernah memaklumkan bahawa bai’ah itu adalah sebagai janji setia terhadap parti dan bersumpah dengan nama Allah SWT untuk tidak menyeleweng dan mengkhianati amanah apabila menjadi pemimpin.

Bai’ah cerai talak tiga pernah dilaksanakan di Kelantan apabila Pas berada dalam keadaan genting sehingga memaksa Menteri Besar ketika itu, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat memasukkan kandungan sumpah boleh gugur talak tiga ke atas isteri calon PAS bagi memastikan mereka yang menang tidak mengkhianati parti.

Menjelang PRU tahun lalu, Abdul Hadi pernah menyatakan bahawa amalan bai’ah hanya diamalkan dalam Pas dan tidak perlu dilaksanakan secara menyeluruh dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *