PERDANA Menteri, Anwar Ibrahim kekal dengan pendiriannya yang mendakwa bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah melaksanakan langkah untuk melupuskan pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion.
Anwar berkata memang terdapat persetujuan untuk memansuhkan hutang peneroka Felda, tetapi peruntukan itu tidak dibentangkan dalam Belanjawan negara pada 2021 dan 2022.
Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin dalam Facebook bekas Perdana Menteri itu menyifatkan Anwar berbohong apabila menuduh beliau tidak melaksanakan pelupusan hutang peneroka Felda.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, pelupusan hutang peneroka Felda telah pun dilaksanakan ketika beliau menjadi Perdana Menteri.
‘’Hal ini disahkan sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam jawapan di Parlimen pada 23 Februari 2023 di mana pelupusan hutang peneroka FELDA telah dilaksanakan pada tahun 2021.
‘’Susulan itu, Tan Sri Idris Jusoh yang ketika itu Pengerusi Felda telah membuat kenyataan pada 24 Februari 2023 bahawa pelupusan hutang peneroka FELDA berjumlah RM8.3 billion telah selesai dilaksanakan pada tahun 2021,’’ katanya.
Berikutan disiarkan semula berita kenyataan Idris pada 24 Februari 2023:
KUALA LUMPUR : FELDA menjelaskan pelupusan hutang peneroka untuk kali kedua tidak dapat dilaksanakan kerana dikhuatiri akan memberi kesan besar kepada aliran tunai.
Pengerusinya, Tan Sri Idris Jusoh, berkata ini berikutan FELDA sebelum ini, sudah melaksanakan sebahagian hutang peneroka FELDA bernilai RM8.3 bilion, berbanding jumlah keseluruhan RM12.1 bilion, pada 2021.
Beliau berkata, keputusan pelupusan sebahagian hutang peneroka itu tidak pernah dibatalkan mana-mana kerajaan, termasuk Kerajaan Perpaduan.
Rentetan itu, katanya, semua peneroka yang menandatangani perjanjian pelupusan hutang itu sudah menikmati manfaat dengan bayaran kembali pinjaman yang jauh lebih rendah dan mampu dibayar. Bayaran kembali baki pinjaman kini akan diteruskan seperti perjanjian pelupusan hutang terbabit, demi menjamin kelangsungan organisasi dan membolehkan FELDA terus menjaga kebajikan warga peneroka.
“Kerajaan melalui FELDA, komited membantu peneroka dan sedang melaksanakan pelbagai inisiatif, bagi meningkatkan pendapatan peneroka serta memastikan hutang mereka tidak terus meningkat. Komitmen ini terbukti apabila purata produktiviti ladang peneroka meningkat hingga 19.43 tan perhektar setahun pada 2022, berbanding 17.29 tan perhektar setahun mewakili peningkatan lebih 12 peratus, sekali gus mampu memberi pulangan pendapatan lebih tinggi kepada warga peneroka FELDA,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Beliau mengulas laporan pelupusan hutang FELDA berpandukan jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said di Dewan Rakyat, bagi soalan Ahli Parlimen Kuala Krau, Kamal Ashaari di Dewan Rakyat, baru-baru ini. (Berita Harian 24 Februari 2023).
Leave a Reply