TAN Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila menuduh beliau tidak melaksanakan pelupusan hutang peneroka Felda sebagai satu pembohongan besar.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, pelupusan hutang peneroka Felda telah pun dilaksanakan ketika beliau menjadi Perdana Menteri.
‘’Hal ini disahkan sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam jawapan di Parlimen pada 23 Februari 2023 di mana pelupusan hutang peneroka Felda telah dilaksanakan pada tahun 2021. Namun, oleh kerana kekangan aliran tunai Felduhyia, kerajaan PH-BN tidak dapat melaksanakan pelupusan hutang peneroka secara berterusan,’’ katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Semalam, ketika berucap pada sambutan Hari Peneroka Felda di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di Serdang, Anwar mendakwa pengumuman mengenai pemansuhan 80 peratus hutang peneroka Felda yang dibuat kerajaan terdahulu tidak disertai sebarang kelulusan.
Sebaliknya, kata Anwar kerajaan PN pimpinan Muhyiddin hanya membuat pengumuman pelupusan hutang berjumlah RM8.3 bilion tersebut.
Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, susulan itu, Tan Sri Idris Jusoh yang ketika itu Pengerusi Felda telah membuat kenyataan pada 24 Februari 2023 bahawa pelupusan hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 billion telah selesai dilaksanakan pada tahun 2021.
‘’Saya bukan jenis manusia yang suka berbohong dan tidak mengotakan janji. Yang suka berbohong dan tidak menunaikan janji ialah Anwar Ibrahim. Dengan pembohongan yang terbaharu ini, semakin jelas Anwar Ibrahim bukanlah seorang yang layak untuk kekal menjadi Perdana Menteri,’’ katanya.
Leave a Reply