Anwar tetap pertahan DAP, tidak setuju UMNO diharamkan

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini mempertahankan DAP dan UMNO yang kini menjadi sekutu dalam politik.

Berucap pada majlis pelancaran jentera pilihan raya PH dan Barisan Nasional (BN) peringkat negeri Selangor, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, meskipun DAP sering menjadi sasaran pembangkang, parti itu tidak pernah membantah segala keputusan kerajaan untuk memberi bantuan kepada Melayu dan Islam.

“Malah DAP sentiasa menyokong usaha itu demi kepentingan negara, termasuk usaha terbaru untuk menyelesaikan hutang peneroka Felda serta peruntukan untuk agama Islam.

“Tak habis mantera mereka (kata) DAP, temberang sana sini. Kita tambah peruntukan untuk Islam, tiada bantahan pun, malah (DAP) beri kerjasama.

“Malah ketika saya bentang dalam Kabinet, Presiden UMNO, (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) memang setuju, tetapi (Setiausaha Agung DAP) Anthony Loke pun sokong,” katanya berucap dalam program Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Selangor di Bangi, Selangor, malam ini.

Dalam pada itu, Anwar tidak bersetuju dengan tindakan kepimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini yang didakwa berusaha untuk mengharamkan UMNO.

“Masa berkuasa sita akaun UMNO, tetapi kini marah akaun mereka disita.

“Tetapi ada orang UMNO suka sangat dengan mereka,” katanya dipercayai merujuk kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pada Disember tahun lalu, Ahmad Zahid mendakwa terdapat usaha untuk mengharamkan parti itu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bagaimanapun Ahmad Zahid mendedahkan cubaan itu tidak menjadi kenyataan apabila ia ‘diselamatkan’ oleh seseorang, tanpa menamakan individu terbabit.

Mengulas lanjut, Anwar mahu jentera PH dan BN bersama-sama berusaha untuk mencapai kemenangan pada enam pilihan negeri yang akan berlangsung 12 Ogos ini.

Anwar menegaskan, usaha itu penting untuk tidak membiarkan negara ini ditadbir golongan pelampau dan ‘pengkhianat’.

Katanya, sepanjang lapan bulan menerajui kerajaan, Malaysia menunjukkan pertumbuhan ekonomi malah keyakinan pelabur mula bertambah baik.

“Saya boleh terima (kritikan) dasar ekonomi tak betul, tapi jangan dengan fitnah,” katanya, lapor Malaysiakini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *